
SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengumumkan cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan esok.
Beliau berkata, pengumuman cuti peristiwa pada 3 Ogos itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum ketika beliau menghadap baginda sejurus selesai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Menurutnya, cuti berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan proses demokrasi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Baginda juga telah berkenan sewaktu saya menghadap baginda sebentar tadi untuk saya mengumumkan cuti peristiwa esok di Negeri Sembilan.
“Cuti peristiwa ini diberikan sebagai penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan proses demokrasi di negeri ini.
“Ramai yang keletihan, jadi esok diberikan peluang untuk berehat,” katanya pada sidang akhbar di Seri Menanti di sini, hari ini.
Terdahulu, Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kesembilan selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan. – UTUSAN
The post MB Negeri Sembilan umum cuti peristiwa esok appeared first on Utusan Malaysia.






