liza02/11/2026 - 12:21 Dari kiri: Pengarah Eksekutif Advance Technologies Asia Berhad, Chew Tee Kai; Pengarah Urusan Advance Technologies Asia Berhad, Ong Keng Yong; Ketua Pegawai Strategi Perniagaan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Jian Yen dan Ketua Bersama Kewangan Korporat Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Ong Tsu Wei Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Advance Technologies Asia Berhad (ATA), penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
ATA dan anak syarikatnya terlibat dalam penyediaan penyelesaian kejuruteraan M&E bagi aset berasaskan teknologi merangkumi sektor telekomunikasi, pusat data, ladang hortikultur pintar serta kemudahan bangunan.
Skop perniagaannya meliputi pemeriksaan teknikal, pemasangan, pengujian dan pentauliahan, selain sistem mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP), pengurusan tenaga, penyelesaian kecekapan tenaga serta sistem solar fotovoltaik.
Perjanjian itu menyaksikan Malacca Securities dilantik sebagai penasihat utama, penaja, pengunderait dan ejen penempatan bagi tawaran awam permulaan (IPO) ATA.
Pengarah Urusan ATA, Ong Keng Yong berkata penyenaraian itu akan menyediakan platform untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, selain membolehkan syarikat meningkatkan keupayaan operasi dan memperluas penglibatannya dalam industri kejuruteraan M&E.
Struktur IPO
IPO ATA merangkumi terbitan awam sebanyak 103.6 juta saham biasa baharu, bersamaan kira-kira 22.82% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 22.7 juta saham diperuntukkan untuk permohonan orang awam Malaysia manakala 4.54 juta saham ditawarkan kepada individu yang layak.
Baki 76.36 juta saham pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Selain itu, IPO berkenaan turut merangkumi tawaran jualan sebanyak 17.4 juta saham biasa sedia ada, bersamaan kira-kira 3.83% daripada modal saham terbitan diperbesarkan ATA, yang juga akan dilaksanakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Perluas pasukan projek, tingkatkan keupayaan operasi
Ong berkata, dana yang diperoleh menerusi penyenaraian itu akan membolehkan ATA memperluas pasukan projek, melabur dalam peralatan projek tambahan serta meningkatkan keupayaan untuk melaksanakan lebih banyak projek secara serentak.
Syarikat itu juga merancang membangunkan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) yang disesuaikan dengan keperluan operasinya bagi menyelaraskan serta mengautomasi aliran kerja.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi menyokong pengembangan perniagaan dan meningkatkan keupayaan ATA dalam mengendalikan projek kejuruteraan M&E yang semakin kompleks.
Sasar pendapatan berulang daripada penyelenggaraan pusat data
Dalam pada itu, ATA turut memberi tumpuan kepada pengembangan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M), khususnya bagi infrastruktur pusat data.
Ong berkata, syarikat itu melihat peluang perniagaan apabila pusat data yang telah siap dibina beralih kepada keperluan penyelenggaraan jangka panjang.
“Peralihan itu dijangka membuka ruang kepada ATA untuk mengembangkan perkhidmatan O&M sekali gus membina asas pendapatan berulang melalui keperluan penyelenggaraan kemudahan berkenaan,” katanya.
Perkhidmatan O&M yang disediakan kumpulan merangkumi penyelenggaraan pencegahan berjadual serta tindak balas siap siaga 24 jam bagi kerja penyelenggaraan pembetulan, khususnya melibatkan infrastruktur pusat data.
Ditubuhkan pada 2007 dan beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor, kumpulan itu turut mempunyai pusat O&M di Kulai, Johor. ATA merupakan kontraktor berdaftar Gred G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta kontraktor elektrik Kelas A berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga. - DagangNews.com






