liza29/10/2026 - 17:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Tawaran awam permulaan (IPO) SKA Capital Berhad mencatatkan kadar lebihan langganan sebanyak 80.42 kali bagi saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SKA Capital berkata sebanyak 25,026 permohonan melibatkan 3.65 bilion saham bernilai RM1.57 bilion diterima bagi 44.78 juta saham yang disediakan untuk permohonan orang awam.
Bahagian bukan Bumiputera mencatatkan kadar lebihan langganan tertinggi iaitu 100 kali, menerusi 12,893 permohonan bagi 2.26 bilion saham.
Sementara itu, bahagian Bumiputera menerima 12,133 permohonan bagi 1.38 bilion saham, bersamaan kadar lebihan langganan sebanyak 60.84 kali.
Secara keseluruhan, jumlah saham yang dipohon oleh orang awam jauh melebihi peruntukan sebanyak 44.78 juta saham yang disediakan bagi kategori berkenaan.
Peruntukan kepada pemohon layak dan pelabur selesai
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 8.96 juta saham terbitan baharu yang diperuntukkan kepada individu yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya.
ARTIKEL BERKAITAN: SKA Capital lancar prospektus IPO, sasar raih RM103.4 juta pada harga 43 sen sesaham
Penempatan persendirian sebanyak 111.94 juta saham terbitan baharu kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut habis dilanggan.
Selain itu, sebanyak 74.81 juta saham IPO yang terdiri daripada 2.41 juta saham terbitan baharu dan 72.40 juta saham sedia ada turut dilanggan sepenuhnya kepada pelabur terpilih.
Sebanyak 186.75 juta saham diperuntukkan kepada 2,209 pelabur
Bagi keseluruhan penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, sebanyak 186.75 juta saham IPO diperuntukkan kepada 2,209 pelabur.
Daripada jumlah itu, 10 pelabur terbesar menerima 94.52 juta saham, bersamaan 50.61% daripada keseluruhan saham penempatan.
Sementara itu, 25 pelabur terbesar menerima 120.47 juta saham atau 64.51% daripada keseluruhan saham yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian.
Berdasarkan jumlah modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 895.5 juta saham selepas IPO, peruntukan kepada 10 pelabur terbesar itu mewakili kira-kira 10.56% daripada keseluruhan saham syarikat. - DagangNews.com






