
PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Aemulus Holdings Berhad (AHB), Aemulus Corporation Sdn. Bhd. (ACSB) berjaya meraih pesanan baharu bernilai RMB14.69 juta (kira-kira RM8.82 juta) daripada pelanggan di China.
Kontrak berkenaan melibatkan pembekalan sistem ujian bagi pasaran Penderia Imej CMOS (CIS).
Lembaga Pengarah AHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan hasil daripada pesanan baharu tersebut akan diiktiraf secara berperingkat mengikut proses penghantaran sistem berkenaan.
Pesanan baharu itu dijangka dipenuhi sepenuhnya dalam tempoh tahun kewangan 2027 dan 2028.
Menurut kumpulan itu, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan AHB bagi kedua-dua tahun kewangan berkenaan.
“Pesanan ini bagaimanapun tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
“Ia juga tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham AHB,” katanya.
Antara faktor risiko potensi yang boleh menjejaskan pelaksanaan pesanan tersebut termasuk risiko operasi seperti ketersediaan bahan, perubahan harga bahan, gangguan rantaian bekalan, serta perubahan dalam keadaan politik, ekonomi dan perundangan.
AHB mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pesanan yang diterima itu. – UTUSAN
The post Aemulus raih pesanan baharu RM8.82 juta dari China appeared first on Utusan Malaysia.





