
PETALING JAYA: Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) memperkukuh keupayaan pemasangan automotif negara menerusi pelaburan kira-kira RM300 juta bagi membangunkan kemudahan pengecatan baharu, Paint Shop 3 (PS3).
PS3 yang dibina dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja Malaysia mampu menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif, pada kadar 15 unit sejam.
Dengan tambahan kapasiti itu, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini meningkat kepada 100,000 badan kenderaan bercat setahun.
Pengarah Inokom Corporation Sdn. Bhd., Tan Sri Ben Yeoh berkata, pelaburan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk terus membangunkan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang industri automotif Malaysia.
“Bermula sebagai sebahagian daripada aspirasi pembangunan industri automotif negara, Inokom kini berkembang menjadi rakan pemasangan yang dipercayai oleh jenama automotif global.
“Paint Shop 3 mencerminkan komitmen berterusan kami untuk melabur dalam pembangunan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan masa depan industri automotif Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kemudahan itu dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam satu langkah yang dilihat mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta daya saing industri automotif tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perniagaan Pemasangan dan Strategik Sime Motors, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, PS3 meningkatkan kapasiti pengecatan serta fleksibiliti pengeluaran Inokom bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Katanya, kemudahan itu menggunakan automasi canggih dan direka dengan kesediaan untuk penggunaan cat berasaskan air pada masa hadapan, selain menggabungkan ciri kelestarian.
“PS3 dilengkapi 32 robot pengecatan dan pengedap bagi memastikan aplikasi cat berketepatan tinggi serta konsisten pada permukaan luaran, dalaman dan komponen plastik.
“Kemudahan itu turut menggunakan Sistem Cartridge Bell (CBS), yang membolehkan pertukaran warna dilakukan dalam tempoh kurang daripada 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna.
“Teknologi berkenaan dijangka membantu mengurangkan masa henti operasi, meningkatkan fleksibiliti pengeluaran serta meminimumkan pembaziran bahan,” katanya.
PS3 juga menggunakan proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran yang membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan memendekkan masa pemprosesan.
Dalam aspek pemindahan teknologi, pembangunan kemudahan itu turut mendapat sokongan pasukan teknikal serta pakar kejuruteraan Mazda menerusi latihan, bimbingan dan pemindahan pengetahuan kepada kakitangan Inokom.
Kerjasama berkenaan dijangka terus memperkukuh kepakaran tenaga kerja tempatan dalam teknologi pemasangan automotif bertaraf tinggi.
Dari aspek operasi, PS3 menggunakan sistem penghantar automatik sepanjang 1,053 meter di laluan pra-rawatan dan elektro-pemendapan (PTED).
Badan kenderaan dipindahkan secara automatik antara Body Shop, PS3 dan Assembly Shop melalui terowong pemindahan atas kepala.
Sistem itu membantu mengurangkan pengendalian manual, gangguan trafik dalaman serta risiko pencemaran sepanjang proses pengecatan.
Pada masa sama, PS3 mengutamakan aspek kelestarian menerusi penggunaan sistem Regenerative Thermal Oxidiser(RTO) yang disambungkan kepada empat relau.
Sistem berkenaan mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sehingga kira-kira 60 peratus melalui proses penguraian sebatian organik meruap serta penggunaan semula haba yang dipulihkan.
Kemudahan itu turut menggunakan sistem penapisan dry scrubber yang tidak memerlukan air dalam operasi bilik semburan cat, sekali gus mengurangkan penggunaan sumber air dan keperluan penyelenggaraan.
PS3 juga direka untuk bersedia menggunakan cat berasaskan air pada masa hadapan, selaras dengan peralihan industri automotif kepada proses pengeluaran yang lebih mesra alam.
Pelaburan RM300 juta itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Inokom sebagai antara kemudahan pemasangan automotif yang mempunyai keupayaan pengeluaran lebih fleksibel, selain membuka ruang kepada pertumbuhan industri serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia. –UTUSAN
The post Inokom labur RM300 juta bina kemudahan pengecatan baharu appeared first on Utusan Malaysia.






