Pasir sungai RM500 juta menggunung

LocalBusiness & Finance
30 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasir sungai RM500 juta menggunung

PEKAN: Timbunan pasir sungai yang menggunung di beberapa lokasi di negeri ini kini menjadi persoalan besar apabila sumber bernilai kira-kira RM500 juta itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya susulan sekatan eksport.

Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kira-kira tiga juta metrik tan pasir tersadai, malah mendapan baharu terus berlaku di Sungai Pahang.

Perkara itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aliran sungai serta kesannya kepada penduduk yang bergantung kepada sungai sebagai laluan dan sumber rezeki.

Berdasarkan anggaran kerajaan negeri, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil hampir separuh satu bilion ringgit menjadikannya sumber bernilai tinggi yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri sekiranya dapat dimanfaatkan.

Bagaimanapun kekangan pasaran susulan sekatan permit kelulusan eksport (AP) menyebabkan sebahagian pasir yang telah dikeluarkan tidak mempunyai saluran pasaran yang lebih luas, sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan industri dan pengurusan stok sedia ada.

Isu itu pernah dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan eksport pasir sungai, sedangkan negeri itu mempunyai sumber pasir yang banyak dan memerlukan pengorekan bagi membantu kelancaran aliran sungai serta mengurangkan risiko banjir.

Baginda turut meminta Kerajaan Persekutuan meneliti semula perkara berkaitan hak Pahang, termasuk hasil bumi, malah memberi bayangan kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya kepentingan negeri terus diketepikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB), Datuk Nor Hashim Abdul Aziz, Pahang mempunyai permit eksport pasir sejak 2016 sebelum Kerajaan Persekutuan menyekat kelulusan berkenaan pada Mei 2024.

Katanya, sebelum ini pasir Pahang dieksport ke empat negara dan permintaan terhadap sumber berkenaan sememangnya tinggi kerana dikatakan mempunyai kualiti terbaik di Asia Tenggara.

“Ketika industri mencatat prestasi terbaik pada 2018 dan 2019, eksport pasir Pahang pernah mencecah kira-kira dua juta tan metrik sebulan, dengan hasil kepada kerajaan negeri dianggarkan sekitar RM10 juta sebulan.

“Bagaimanapun, sekatan berkenaan menyebabkan industri kehilangan sebahagian besar pasaran luar, dengan keadaan itu turut menyaksikan kira-kira 15 konsesi kini menghentikan operasi sepenuhnya.

“Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan syarikat konsesi gulung tikar, malah menjejaskan kira-kira 300 peluang pekerjaan anak tempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Larangan eksport, mendapan terus bertambah

Timbunan pasir sungai terus menggunung di beberapa lokasi apabila mendapan semakin bertambah susulan larangan eksport bahan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaedah terbaik mengurus lebihan sumber itu.

Mengulas lanjut, Nor Hashim berkata, meskipun pasaran domestik masih tersedia, permintaannya tidak mampu menyerap keseluruhan bekalan pasir dari Pahang, manakala kos pengangkutan yang tinggi menjadikan pemasaran dalam negara kurang berdaya saing.

“Dianggarkan terdapat kira-kira tiga juta metrik tan stok pasir yang tersadai ketika ini dan ketiadaan projek berskala besar di negeri ini menyebabkan bekalan itu tidak dapat dibawa keluar. Jika mahu dijual ke negeri lain, kos pengangkutan pula terlalu tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Sungai Pahang turut berdepan cabaran semula jadi apabila pasir baharu terus dibawa dari kawasan hulu sungai dan mendap sepanjang laluan air ke hilir.

Menurutnya, aliran pasir dari kawasan hulu Sungai Pahang dianggarkan mencecah kira-kira 72,000 tan metrik setahun, yang akan menjadi mendapan dalam sungai sekiranya tidak diurus atau dikeluarkan secara terkawal.

“Mendapan itu bukan hanya berlaku di satu kawasan, sebaliknya membabitkan beberapa jajaran sungai menjadikan pengurusan mendapan sebagai isu yang perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, kerja mendalamkan sungai perlu dilaksanakan secara berterusan, malah kajian mitigasi mendalamkan Sungai Pahang dari Kuala Lipis hingga Kuala Pahang pernah dijalankan syarikat perunding pada 2014.

“Dalam konteks itu, pengorekan dan penjualan pasir dilihat sebagai antara kaedah yang boleh digunakan bagi mengurus mendapan, dengan hasil daripada sumber berkenaan dikembalikan kepada kerajaan.

“Bahkan pengambilan pasir yang dilakukan bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran serta kawalan ketat termasuk tidak mengambil pasir terlalu dekat dengan tebing serta penggunaan mesin yang sesuai berdasarkan lokasi.

“Malah jika timbunan pasir di tengah laluan air terus dibiarkan, ia akan mengubah landskap sungai apabila air besar dan berarus deras turun dari hulu lalu menghakis tebing kerana halangan di tengah sungai,” jelasnya.

Sungai cetek, rezeki penduduk terjejas

Kesan perubahan keadaan sungai itu bukan sekadar dapat dilihat melalui timbunan pasir yang tersadai di kawasan pengambilan, malah masyarakat yang menjadikan sungai sebagai laluan dan sumber rezeki turut mula merasai kesannya.

Pengusaha rumah rakit Kampung Pulau Jawa, Pekan, Rohani Rani, 41, berkata, timbunan pasir di tengah sungai berhampiran kampung berkenaan bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan operasi rumah rakit yang dijalankan sejak setahun lalu.

Katanya, keadaan itu menunjukkan penyelesaian isu pasir Pahang tidak boleh hanya bergantung kepada satu pilihan pasaran, sebaliknya memerlukan pendekatan yang mengambil kira keperluan sungai, industri dan masyarakat setempat secara serentak.

“Timbunan pasir yang membentuk pulau di tengah sungai saban tahun runtuh, terutamanya ketika musim tengkujuh dan pasir yang dibawa arus akan menyebabkan paras air semakin cetek.

“Keadaan itu menyebabkan rumah rakit yang dibina di tepi tebing sering kali tersadai pada beting pasir setiap kali air surut, sekali gus menyebabkan kerosakan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mengeluarkan belanja tambahan bagi membaiki struktur rumah rakit yang rosak akibat masalah berkenaan.

Tambahnya, ketika air pasang besar pada Disember tahun lalu, air naik sehingga ke jalan, keadaan yang menurutnya tidak pernah berlaku sebelum ini, menyebabkan operasi terpaksa dihentikan kira-kira dua minggu dan tempahan pelanggan terpaksa dipulangkan.

Bagi pengusaha perkhidmatan sewa bot pemancing, Mohd. Razif Mohd. Razali, 40, berkata, keadaan sungai semakin teruk dalam tempoh kira-kira tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, ketika paras pasang surut air kurang daripada satu meter, beting pasir akan timbul di lokasi jeti malah ketika air surut penuh, kanak-kanak boleh bermain di tengah sungai yang berubah menjadi beting pasir.

“Ada pelanggan yang membatalkan tempahan kerana bimbang bot tersangkut atau mereka terjerlus di kawasan berpasir ketika menolak bot dan sudah tentu keadaan itu menjejaskan perniagaan saya.

“Ada kalanya pelanggan terpaksa menunggu antara dua hingga lima jam sehingga air pasang semula selain berdepan risiko bot rosak akibat terlanggar tunggul kayu yang terbenam di dasar sungai ketika air surut,” katanya..

Mohd. Razif berkata, kawasan berkenaan sebelum ini mempunyai bahagian sungai yang dalamnya mencecah kira-kira 10 meter, namun kini semakin cetek sehingga hasil ikan dan udang turut berkurangan.

Situasi sama turut dirasai nelayan sungai, Hanapi Mohammad, 54, berkata, hasil tangkapan semakin merosot berbanding sebelum ini.

“Hasil udang serta beberapa spesies ikan sungai seperti baung dan lampam juga kini semakin sukar diperoleh berikutan keadaan sungai yang semakin cetek.

“Kalau dulu saya mampu memperoleh sekitar RM1,000 seminggu, namun kini ada kalanya hanya sekitar RM500 sebulan sahaja.” katanya.

Beliau mendakwa penduduk berdepan masalah habuk pasir ketika musim panas dan berangin yang berpunca daripada timbunan pasir di tengah sungai sekali gus menjejaskan potensi pelancongan Pahang.-UTUSAN

The post Pasir sungai RM500 juta menggunung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved