AEON Credit berdepan tekanan kredit akibat kos sara hidup golongan muda meningkat - RHB Research

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AEON Credit berdepan tekanan kredit akibat kos sara hidup golongan muda meningkat - RHB Research Image from: AEON Credit berdepan tekanan kredit akibat kos sara hidup golongan muda meningkat - RHB Research hamden30/09/2026 - 10:16 Oleh Hamden Ramli editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept - AEON Credit Service (M) Bhd (AEONCR) berdepan tekanan kredit yang berterusan apabila kos sara hidup yang semakin membebankan memberi kesan kepada golongan muda dan berpendapatan rendah, menurut RHB Research

 

Firma peyelidikan itu berkata, tekanan berkenaan turut mendorong pembentukan pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal tinggi pada separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27), sekali gus meningkatkan kos kredit dan mengehadkan pertumbuhan keuntungan kumpulan.

 

Katanya lagi, pembentukan NPL AEON Credit dianggarkan kekal pada 5.8% hingga 6.2% bagi 1HFY27, lebih tinggi berbanding paras 5.2% hingga 5.6% yang direkodkan sepanjang 1Q hingga 3Q dalam dua tahun kewangan sebelumnya.

 

“Pengurusan mengaitkan tekanan kredit yang berterusan dengan cabaran kos sara hidup yang memberi kesan kepada golongan muda dan berpendapatan rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, nisbah NPL dilaporkan AEON Credit berada pada 2.55% pada 2QFY27, meningkat 6 mata asas tahun ke tahun tetapi susut 5 mata asas suku ke suku, disokong hapus kira yang lebih tinggi serta pertumbuhan pembiayaan.

 

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) pula kekal stabil secara suku ke suku pada 199.4%, berbanding 195% pada 1QFY27, namun lebih rendah daripada 228.1% pada 2QFY26.

 

Pertumbuhan kekal kukuh

Tekanan terhadap kualiti aset itu hadir ketika pertumbuhan pembiayaan AEON Credit kekal kukuh.

 

Penghutang pembiayaan kasar meningkat 9% tahun ke tahun dan 3% suku ke suku kepada RM16.5 bilion, mengatasi sasaran pertumbuhan setahun penuh pengurusan sebanyak 8%.

 

Antara pemacu utama pertumbuhan ialah permintaan kukuh bagi pembiayaan motosikal berkuasa tinggi, khususnya skuter dan motosikal besar, yang melonjak 53% tahun ke tahun.

 

Perniagaan pembayaran turut berkembang 11% tahun ke tahun susulan pelancaran kad baharu.

 

Namun, pembiayaan kereta baharu, pembiayaan objektif dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan.

 

Dalam keputusan 2QFY27, keuntungan bersih AEON Credit merosot 18% tahun ke tahun kepada RM59.3 juta daripada RM72.2 juta, manakala keuntungan bagi 1HFY27 meningkat 3% kepada RM154.5 juta.

 

Prestasi itu bagaimanapun tidak mencapai jangkaan penganalisis, dengan keuntungan bersih 1HFY27 hanya mewakili 38% daripada anggaran setahun penuh mereka dan 39% daripada konsensus pasaran.

 

Kos kredit menjadi faktor utama yang menekan prestasi, apabila meningkat kepada 5.09% bagi 1HFY27 berbanding panduan pengurusan sekitar 4%, terutama disebabkan caj rosot nilai dan hapus kira lebih tinggi dalam segmen pembiayaan peribadi, kereta terpakai dan kad kredit.

 

Pada masa sama, peralihan kumpulan ke arah kredit berkualiti lebih baik turut menyebabkan hasil aset purata lebih rendah, sekali gus memberi tekanan sekitar 30 mata asas kepada margin faedah bersih (NIM), walaupun kos pembiayaan kekal stabil.

 

Unjuran keuntungan diturunkan

Berikutan perkembangan itu, RHB Research menurunkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) AEON Credit bagi FY27F hingga FY29F masing-masing sebanyak 16%, 13% dan 12%.

 

Harga sasaran saham turut diturunkan kepada RM5.70 daripada RM6.60, manakala penarafan diturunkan kepada NEUTRAL daripada BELI.

 

Harga sasaran baharu itu memberikan potensi kenaikan sekitar 10% serta hasil FY27F sekitar 5%, termasuk premium ESG sebanyak 2%.

 

Sementara itu, AEON Credit mengisytiharkan dividen interim sebanyak 13 sen sesaham bagi 2QFY27, mewakili nisbah pembayaran 43%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved