Pembukaan KL Midtown, perbelanjaan SARA tingkatkan prospek pertumbuhan AEON, menurut HLIB 

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembukaan KL Midtown, perbelanjaan SARA tingkatkan prospek pertumbuhan AEON, menurut HLIB  Image from: Pembukaan KL Midtown, perbelanjaan SARA tingkatkan prospek pertumbuhan AEON, menurut HLIB  hamden05/11/2026 - 10:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - Prospek Aeon Co (M) Bhd kekal positif, disokong sumbangan kukuh segmen Pengurusan Hartanah dan Perkhidmatan (PMS), perbelanjaan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pembukaan KL Midtown yang dijangka menjadi pemacu tambahan kepada prestasi kumpulan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertemuan terbaharunya dengan pihak pengurusan Aeon mengesahkan panduan prestasi bagi tahun kewangan 2026 (FY26), termasuk margin perniagaan peruncitan sekitar 1% dan margin segmen PMS melebihi 40%.

 

"Pihak pengurusan turut menjangkakan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) mengikut corak bermusim lazim, manakala KL Midtown dijadualkan memulakan operasi secara berperingkat menerusi pembukaan awal pada November 2026," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB mengekalkan unjuran kewangan Aeon tanpa perubahan kerana tekanan susulan kenaikan tarif elektrik dan gaji minimum dilihat masih boleh diuruskan.

 

Menurut firma itu, prospek kumpulan terus disokong prestasi segmen PMS yang menyumbang 92.6% daripada keuntungan segmen bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26).

 

Selain itu, perbelanjaan SARA, sumbangan KL Midtown serta momentum musim perayaan yang padat pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) dijangka menjadi pemangkin kepada prestasi kumpulan.

 

Dari segi penilaian, saham Aeon kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 sebanyak 8.4 kali, yang disifatkan firma penyelidikan itu sebagai menarik.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan BELI terhadap saham Aeon dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.78. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved