liza07/10/2026 - 11:07 Kredit foto MAHB Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara mulai 8 Oktober 2026 antara 12 tengah malam hingga 5 pagi untuk memberi laluan kepada kerja kemas kini perisian dilaksanakan.
Malaysia Airports berkata, kemas kini itu dilakukan selepas Aerotrain mencapai 20,000 jam operasi berterusan bagi meningkatkan ketahanan operasi sistem serta menyokong prestasinya dalam jangka panjang.
“Kerja berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh waktu kejuruteraan dengan perkhidmatan bas disediakan bagi memastikan perjalanan penumpang antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit terus berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Fasa pertama, iaitu ujian lapangan akan berlangsung dari 8 hingga 17 Oktober 2026.
Malaysia Airports berkata dalam tempoh itu, kemas kini perisian akan dipasang dan diuji dalam keadaan operasi sebenar bagi memastikan fungsi serta prestasinya memenuhi keperluan yang ditetapkan.
“Ujian lapangan itu akan disusuli penilaian keselamatan bebas bagi memberikan lapisan pengesahan tambahan sebelum perisian berkenaan digunakan secara kekal.
“Sekiranya penilaian tersebut selesai dengan memuaskan, fasa pelaksanaan kekal akan dijalankan dari 28 November hingga 1 Disember 2026,” katanya.
Kebolehpercayaan sistem Aerotrain
Menurut Malaysia Airports, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain.
Sejak Pelan Tindakan Komprehensif diselesaikan pada Jun 2026, sistem berkenaan merekodkan 99.9% ketersediaan operasi.
Dalam tempoh 18 bulan lalu, Aerotrain telah melengkapkan 167,481 perjalanan pergi balik dan membawa kira-kira 23.55 juta penumpang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KLIA, Adam Nicholas Wilson berkata keutamaan Malaysia Airports adalah memastikan Aerotrain terus menyediakan perkhidmatan yang lancar dan boleh dipercayai kepada penumpang.
“Aktiviti terancang seperti kemas kini perisian ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan tahap prestasi tersebut serta menyokong kebolehpercayaan sistem dalam jangka panjang,” katanya.
Bas disediakan
Bagi memastikan perjalanan penumpang antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit tidak terjejas, perkhidmatan bas secara penuh akan disediakan sepanjang tempoh kerja berkenaan.
Penumpang yang menggunakan KLIA pada waktu tersebut dinasihatkan mengikuti papan tanda yang disediakan menuju ke ruang menunggu bas dan bantuan turut boleh diperoleh daripada petugas lapangan KLIA. - DagangNews.com





