
SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain akan menjalani kemas kini perisian secara berjadual selepas berjaya melengkapkan 20,000 jam operasi berterusan bagi memperkukuh ketahanan operasi sistem serta menyokong prestasi jangka panjang mod pengangkutan itu.
Kemas kini tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara pada waktu kejuruteraan standard luar waktu puncak iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi.
Menurut Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), sejak penyelesaian pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif pada Jun lalu, sistem berkenaan mengekalkan ketersediaan sebanyak 99.9 peratus.
“Dalam tempoh 1.5 tahun lalu, Aerotrain telah melengkapkan 167,481 perjalanan pergi balik serta membawa kira-kira 23.55 juta penumpang.
“Fasa pertama akan membabitkan Ujian Lapangan (Field Testing) yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 17 Oktober yang mana ia termasuk pemasangan dan pengujian kemas kini perisian dalam keadaan operasi sebenar bagi mengesahkan prestasi serta fungsinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kata MAHB, ujian lapangan itu juga akan menjadi pengesahan tambahan sebelum perisian yang dikemas kini terbabit digunakan secara kekal.
“Hasil ujian berkenaan kemudiannya akan menjalani penilaian keselamatan komprehensif secara bebas.
“Seterusnya, kemas kini berkenaan akan memasuki fasa Pelancaran (Roll Out) dari 28 November hingga 1 Disember apabila perisian berkenaan akan dipasang secara kekal pada sistem Aerotrain,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran pemindahan penumpang antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit, perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja sebagai sebahagian daripada pelan kontingensi operasi lapangan terbang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KLIA, Adam Nicholas Wilson berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan Aerotrain terus menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan lancar kepada penumpang di KLIA.
“Aktiviti terancang seperti kemas kini perisian ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengekalkan tahap prestasi berkenaan serta menyokong kebolehpercayaan sistem dalam jangka panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lengkapkan 20,000 jam operasi, Aerotrain jalani kemas kini berjadual appeared first on Kosmo Online.






