Afrika Rupanya 14 Kali Ganda Lebih Besar Berbanding Greenland, PBB Sokong Peta Equal Earth

7 Sep 2026 • 2:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Afrika Rupanya 14 Kali Ganda Lebih Besar Berbanding Greenland, PBB Sokong Peta Equal Earth

Bertahun-tahun negara-negara di Afrika memperjuangkan penggunaan peta dunia yang menggambarkan saiz sebenar benua itu, dan akhirnya usaha itu mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Pada 4 September 2026, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang mengalakkan penggunaan peta dengan gambaran keluasan daratan yang lebih tepat, termasuk unjuran Equal Earth.

Resolusi yang diketuai Togo itu mendapat sokongan 164 negara, manakala Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara yang menolak sokongan dan enam negara memilih untuk berkecuali.

Walaupun keputusan tersebut tidak bermaksud peta dunia lama akan terus digantikan, ia merupakan perkembangan penting dalam usaha Afrika mencabar gambaran saiz benua yang selama ini digunakan secara meluas.

Kenapa Afrika Mahu Peta Dunia Dibetulkan?

Persoalan itu berkait rapat dengan peta Mercator yang diperkenalkan oleh ahli kartografi Flemish, Gerardus Mercator, pada 1569 dan asalnya direka untuk membantu pelayaran menentukan arah di laut.

Disebabkan sifat unjuran tersebut, kawasan yang semakin jauh dari garisan khatulistiwa kelihatan semakin besar, menyebabkan wilayah seperti Greenland kelihatan jauh lebih besar berbanding saiz sebenarnya.

Keadaan itu membuatkan Afrika yang terletak di sekitar garisan khatulistiwa kelihatan lebih kecil, sedangkan benua itu mempunyai keluasan kira-kira 30.3 kilometer persegi, atau sekitar 14 kali ganda saiz Greenland.

Baca juga:

Bukan Peta Baharu Sahaja

Perjuangan untuk menggambarkan dunia dengan lebih tepat sebenarnya bukan perkara baharu kerana ahli kartografi telah lama menghasilkan pelbagai unjuran bagi mengurangkan herotan saiz, bentuk, jarak dan arah yang berlaku apabila bumi berbentuk sfera dipaparkan pada permukaan rata.

Pada 2018, ahlikartografi Bojan Šavrič, Tom Patterson dan Bernhard Jenny memperkenalkan Equal Earth, iaitu unjuran yang mengekalkan keluasan relatif benua sambil menghasilkan bentuk yang lebih mudah dikenali.

Usaha tersebut kemudiannya mendapat sokongan melalui kempen Correct The Map, yang memperjuangkan penggunaan peta yang lebih tepat dalam menggambarkan keluasan Afrika dan wilayah lain.

Jadi, Adakah Peta Dunia Akan Berubah?

Secara teknikal, belum kerana resolusi PBB itu tidak mengikat negara anggota, selain tidak mengharamkan penggunaan Mercator yang masih berguna untuk tujuan tertentu termasuk navigasi.

Sebaliknya, keputusan itu memberi sokongan antarabangsa kepada penggunaan unjuran yang dapat menggambarkan keluasan benua dengan lebih tepat, khususnya dalam pendidikan dan komunikasi awam.

Afrika juga tidak tiba-tiba menjadi lebih besar selepas keputusan tersebut kerana benua itu sudah memang mempunyai keluasan yang sama sejak dahulu lagi.

Apa yang berubah adalah cara dunia memilih untuk melihat dan menggambarkan Afrika, selepas bertahun-tahun benua itu memperjuangkan satu perkara yang pada asasnya mudah, iaitu supaya peta dunia memberikan gambaran yang lebih hampir kepada realiti.

Image from: Afrika Rupanya 14 Kali Ganda Lebih Besar Berbanding Greenland, PBB Sokong Peta Equal Earth
Peta Mercator

Peta Equal Earth Terima Sokongan 164 Negara

Image from: Afrika Rupanya 14 Kali Ganda Lebih Besar Berbanding Greenland, PBB Sokong Peta Equal Earth
Peta Equal Earth

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved