
RASA terkilan kerana tidak sempat membeli kasut bola sepak yang diminta anaknya baru-baru ini masih menghantui Mohd Ashrofudin Ramdzon, bapa kepada dua beradik yang lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di Kulim malam tadi.
Mohd Ashrofudin, 41, berkata dia tidak menyangka permintaan terakhir anaknya Muhammad Arif Naufan, 8, itu tidak dapat ditunaikan selepas ditemukan lemas bersama anak tirinya Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan dua mangsa lain.
"Beberapa hari lepas, dia ada minta saya belikan kasut bola sepak untuk digunakan bagi menjalani latihan dan pertandingan pada Oktober ini. Saya memang bercadang untuk membeli kasut yang dimintanya minggu ini tetapi tidak kesampaian.
“Dia memang suka bermain bola sepak dan selalu keluar bermain bersama abang dan kawan-kawan yang lain,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Mohd Ashrofudin yang bekerja sebagai pembantu keselamatan hanya mengetahui kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu daripada isterinya, sebelum bergegas ke Hospital Kulim dari tempat kerjanya.

Agak manja, minta disuap
“Dua, tiga hari lepas, saya perasan Muhammad Arif Naufan agak manja kerana minta saya suapkan makanan sedangkan sebelum ini dia tidak pernah buat begitu manakala Muhamad Aeril Aziz pula mempunyai sifat yang lebih pendiam.
“Arwah anak dan dua rakannya itu adalah rakan baik dan memang selalu bermain bersama. Mereka juga sering datang ke rumah, sekarang semuanya sudah tiada... kesemua arwah dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan, Kulim selepas semua urusan selesai,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Irfan Hafizuddin Khairol Anuar, 20, yang juga abang kepada Muhammad Iman Nuruddin berkata sebelum mengetahui kejadian itu, ibunya ada menyuruh dia untuk keluar mencari adiknya.
“Masa itu sudah hendak masuk waktu Maghrib tetapi adik masih belum pulang ke rumah. Jadi, ibu minta saya keluar cari dia. Sampai di lokasi, saya lihat ramai orang sudah berada di situ, sebelum nampak orang bawa keluar adik saya dari longkang berkenaan.
“Ada orang bagi bantuan pernafasan (CPR) kepada adik saya. Selepas saya sampai, saya juga ada buat CPR pada dia beberapa kali tetapi tiada tindak balas. Adik kemudiannya telah dibawa ke hospital dengan ambulans, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

'Nanti abang tiada, adik akan ganti'
Sementara itu, bapa Muhammad Zafril Arsyad, Muhamad Azrin Saidin, 35, berkata dia membawa anak sulung daripada tiga beradik itu bersama-sama sewaktu bekerja di taman perumahan itu kerana bimbang meninggalkannya di rumah.
"Dia (Muhammad Zafril Arsyad) demam... tidak pergi ke sekolah. Jadi saya bawa dia ke tempat kerja kerana kalau saya tinggalkan di rumah, saya bimbang dia ikut kawan pergi memancing sebab dia minat memancing.
"Saya ingatkan bila ikut saya mungkin tiada masalah. Dia main bola di padang tetapi tidak sangka ini yang terjadi," katanya kepada pemberita.
Muhamad Azrin berkata arwah anaknya yang bersekolah sama dengan dua lagi mangsa kejadian itu aktif bermain bola sepak sejak kecil.
Seperti tahu akan pergi, Muhammad Zafril dikatakan sempat berkata adik yang bakal lahir akan menggantikan dirinya.

"Isteri saya (Siti Aishah Abdullah, 30) sarat mengandung dan dijangka bersalin November ini.
"Arwah pernah cakap pada ibunya, 'nanti abang tiada, adik (bayi lelaki dalam kandungan ibunya) yang akan menggantikan dirinya'," katanya.
Lebih memilukan, anaknya itu meminta kek sempena hari lahir Julai lepas dan dia sempat menunaikannya.
"Kalau dengan saya, dia suka buat perangai macam-macam, nak saya marah. Julai lepas, hari jadi dia, beria dia minta kek dan saya belikan," katanya.
Empat kanak-kanak yang bersahabat itu dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika cuba mengambil bola, dalam kejadian petang semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, keempat-empat mereka berusia antara lapan hingga 12 tahun dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum ditemukan lemas.
Kesemua mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12; adik tirinya Muhammad Arif Naufan, 8; serta dua rakan mereka Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Jenazah keempat-empat mereka semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Nurul Ehsan, Sungai Karangan dekat sini, kira-kira 5.45 petang.
Sumber: BERNAMA



