
ALOR SETAR – “Anak saya yang berusia lapan tahun itu minta belikan kasut bola, namun saya tidak sempat tunaikannya selepas dia dan abangnya ditemukan lemas semalam.”
Demikian kata Mohd. Ashrafudin Ramzan, 41, yang kehilangan anaknya, Muhammad Arif Naufan, 8, dan anak tirinya, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, yang lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di Kulim semalam.
Dalam kejadian itu, dua lagi kanak-kanak yang maut ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Menurut Mohd. Ashrafudin, dia sempat bertemu dengan Muhammad Arif Naufan sebelum keluar bekerja sebagai pembantu keselamatan di sebuah agensi kerajaan kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Sudah dua hingga tiga hari anak saya itu minta kasut bola, dia kata ada latihan di sekolah bulan depan. Semalam pun dia ada minta dan saya beritahu tunggu abah cuti dulu baru kita keluar beli, tetapi sedihnya tak sempat.
“Saya terasa sungguh sebab arwah sangat manja dengan saya. Saya dan dia jarang berenggang, kalau berenggang pun masa saya ke tempat kerja sahaja yang mana kebelakangan ini dia juga sering minta saya suapkan makanan. Abangnya pula seorang yang agak pendiam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, dia juga sedih dengan kehilangan dua lagi mangsa lemas yang merupakan rakan anak-anaknya itu.
“Mereka pun saya sudah anggap seperti anak sendiri kerana mereka kerap datang ke rumah saya. Jika mengikut perancangan, kesemua jenazah akan dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Karangan,” ujarnya.
Tambahnya, dia tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku, namun dimaklumkan insiden itu berlaku pada waktu hujan lebat.
“Air dalam longkang itu memang deras jika hujan lebat kerana keadaan longkang itu agak curam,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika mahu mengambil bola dalam kejadian di Taman Desa Kayangan pada semalam.
Dua daripada mangsa berusia sekitar 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Anak minta belikan kasut bola tapi saya tak sempat tunaikan’ appeared first on Kosmo Online.





