
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
DAP menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi penjelasan mengenai keputusan tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan jenayah yang sebelum ini dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan berkata, langkah AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA tidak menyuntik keyakinan awam selain menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan serta proses membuat keputusan.
AGC gagal jelaskan sama ada sudah nilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi
Menurut Ramkarpal yang juga bekas Timbalan Menteri Undang-undang itu, walaupun AGC menyandarkan keputusan tersebut kepada semakan komprehensif terhadap keterangan sedia ada, agensi itu gagal menjelaskan sama ada ia telah menilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2023.
“Dengan segala hormatnya, ini bukan suatu kes di mana tiada sebarang penemuan dibuat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menekankan bahawa sudah diketahui umum yang Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati wujud kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu pada akhir kes pendakwaan.
Kenapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tak lagi relevan? – Ramkarpal Singh
Dapatan prima facie tersebut bermakna Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara sah dikehendaki membela diri.
“Melihat kepada keadaan ini, AGC perlu menjelaskan mengapa mereka kini berpendapat bahawa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tidak lagi relevan, terutamanya apabila dapatan tersebut adalah berdasarkan keterangan mereka sendiri yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya penjelasan telus tidak diberikan, kepercayaan rakyat kepada AGC akan terjejas dan melabelkan keputusan yang dibuat itu sebagai sesuatu yang ‘tidak wajar’.
Akmal beri pendapat berbeza, percaya pertuduhan terhadap Zahid adalah motif politik
Walaubagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Saleh dilihat tidak senada dengan Ramkarpal Singh.
Beliau dalam satu hantaran di laman Facebook menyifatkan keputusan tersebut adalah bukti yang pertuduhan terhadap Zahid sebelum ini adalah bermotifkan politik.
“Alhamdulilah, akhirnya kebenaran terjawab juga. Selama ini pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah bermotifkan politik tanpa mengira asas bukti yang mencukupi,” katanya.
Keputusan NFA diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang – AGC
Semalam (8 Januari), AGC memutuskan NFA terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.
Menurut AGC dalam satu kenyataan, keputusan berkenaan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit, selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Tegasnya, keputusan terbabit diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 tuduhan dihadapi Zahid pada 4 September 2023.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudiannya membenarkan DNAA bagi 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Baca Artikel Berkaitan: Sanusi Dakwa Ada ‘Tangan Ghaib’ Dalam Kes Ahmad Zahid, Bung Moktar dan Zizie [Video]
Baca Artikel Berkaitan: 47 Kes Pertuduhan: Ahmad Zahid Dilepas Tanpa Dibebaskan
