AGC tubuh jawatankuasa khas siasat jenayah kewangan, libat 6 agensi penguatkuasaan

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 8:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AGC tubuh jawatankuasa khas siasat jenayah kewangan, libat 6 agensi penguatkuasaan
AGC mempengerusikan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan berkaitan.

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) menubuhkan dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara teratur, menyeluruh dan bersepadu.

Menurut kenyataan AGC, mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada Rabu bagi menetapkan keanggotaan jawatankuasa, skop serta parameter siasatan.

“Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Jawatankuasa khas ini akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap susur galur jenayah kewangan dari peringkat awal hingga kini.

“Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan komprehensif tanpa terbatas kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu bagi memastikan semua aspek yang berkaitan diteliti berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata kerangka terma rujukan bagi pasukan khas yang akan menyiasat dakwaan berkaitan isu mafia korporat akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mendedahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan selepas siasatan berkenaan selesai.

Dalam pada itu, AGC memaklumkan bahawa laporan hasil siasatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya sebelum dimaklumkan kepada orang ramai.

Menurut kenyataan tersebut, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan proses siasatan dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan bertanggungjawab demi kepentingan awam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved