Pertanggungjawab semua pihak cuai: Warisan

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 5:01 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pertanggungjawab semua pihak cuai: Warisan

Kota Kinabalu: Ketua Warisan Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman (gambar) menggesa Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu pengendalian kontena, pergerakan kenderaan berat dan pencahayaan jalan di sekitar pelabuhan sebelum lebih banyak nyawa terkorban.

“Cukuplah. Dua nyawa telah terkorban. Pastikan tragedi sama tidak berulang,” katanya.

Beliau mencadangkan jawatankuasa itu dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pihak berkuasa jalan raya berkaitan, pengurusan pelabuhan dan syarikat logistik.

Antara keutamaan jawatankuasa itu ialah menjalankan audit keselamatan, memperketat prosedur pengendalian kontena, menambah baik pencahayaan dan mengkaji semula pergerakan lori kontena, selain mengumumkan pelan tindakan yang jelas kepada orang ramai dalam tempoh 30 hari.

Azis berkata siasatan perlu meneliti peranan pengendali kontena serta menentukan sama ada kecuaian atau pelanggaran peraturan keselamatan menyumbang kepada tragedi itu.

“Jika didapati berlaku salah laku, tindakan tidak seharusnya terhad kepada pemandu, sebaliknya turut melibatkan pihak pengurusan syarikat yang didapati bertanggungjawab.

“Bagaimana operasi mengangkat dan menurunkan kontena berisiko tinggi boleh dijalankan begitu hampir dengan jalan raya awam? Saya menggesa pemeriksaan segera terhadap pencahayaan di sepanjang jalan menuju ke terowong Sepanggar dan di dalam terowong itu,” katanya sambil menambah keadaan gelap boleh membahayakan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.

Mengenai operasi pelabuhan, Azis mencadangkan kawasan khusus untuk kerja mengangkat, menurunkan dan menyimpan kontena disediakan jauh dari jalan raya awam.

Katanya, urusan keluar masuk lori kontena juga perlu disusun semula, dengan penyediaan kawasan menunggu yang sesuai dan laluan khas untuk kenderaan berat dipertimbangkan jika perlu.

Azis turut menggesa kerajaan menilai semula cadangan terdahulu Warisan untuk membangunkan pelabuhan antarabangsa di Kudat, termasuk kemungkinan memindahkan sebahagian operasi kontena dari Sepanggar, tertakluk kepada kajian teknikal dan ekonomi.

“Cadangan itu telah dibincangkan ketika pentadbiran Warisan sebelum ini sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan jangka panjang Sabah dan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya parti.

Kawasan sekitar Pelabuhan Sepanggar semakin pesat membangun dengan kewujudan taman perumahan, institusi pendidikan, pusat komersial dan destinasi pelancongan seperti Karambunai.

“Berapa lama lagi kita mahu membiarkan jalan raya yang digunakan penduduk terus berkongsi laluan dengan lori kontena dan kenderaan berat?” katanya.

Azis turut menggesa supaya bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga mangsa dan mereka diberikan akses kepada keadilan sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved