Agenda Malaysia Biru bukan retorik politik

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 2:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agenda Malaysia Biru bukan retorik politik

KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru yang digagaskan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan sekadar retorik politik sebaliknya mampu dicapai menjelang 100 tahun kemerdekaan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merupakan kerangka lengkap untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tak lama lagi.

Malah, beliau turut berpandangan Agenda Malaysia Biru boleh dijadikan asas kepada pembentukan manifesto dan dasar pentadbiran sekiranya UMNO dan BN kembali menerajui Putrajaya.

“UMNO tak pernah mengungkapkan omongan kosong. Apa yang disebut oleh Presiden sebenarnya seakan-akan satu manifesto, satu kerangka yang lengkap.

“Jika UMNO dan BN mahu jadikannya sebagai asas untuk belanjawan pun boleh sebenarnya. Ini menunjukkan bahawa di kalangan pemimpin-pemimpin dalam UMNO, kita tidak bermula dari ‘ground zero’.

“Kita sudah berada di tempat yang sudah memiliki pengalaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Reezal berkata, antara perkara penting dalam Agenda Malaysia Biru ialah menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta dan berkemahiran tinggi bagi memastikan negara bukan sekadar menarik pelaburan asing tetapi turut mempunyai bakat dan kemahiran untuk mencipta kekayaan sendiri.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu menambah, perubahan daripada konsep ‘made in Malaysia’ kepada ‘made by Malaysia’ penting bagi memastikan pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi menghasilkan penciptaan kekayaan yang benar-benar dapat dimiliki rakyat.

Beliau menjelaskan negara juga memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat bagi memastikan pembangunan ekonomi tidak hanya diukur melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pelaburan langsung asing (FDI), tetapi turut memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.

“Kita tak mahu FDI bunyi cantik, tetapi hakikatnya ia tidak menghasilkan kepada penciptaan kekayaan. Kita tak mahu KDNK naik, tetapi hakikatnya ia tidak dirasai oleh rakyat dan masyarakat di bawah.

“Kita mahu rakyat mempunyai keupayaan memiliki, mempunyai ‘disposable income’ dan kesejahteraan,” ujarnya.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasar sempena PAU 2026, memperkenalkan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun usia kemerdekaan Malaysia dengan lapan iktiar utama untuk membentuk hala tuju negara sekiranya ditakdirkan menerajui Putrajaya kelak.

Agenda Malaysia Biru yang digagaskan itu membawa maksud berdaulat dan bersatu; inovatif dan berpendapatan tinggi; rakyat makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia.

Tujuan Agenda Malaysia Biru digagaskan adalah untuk menjadikan Malaysia muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional. – UTUSAN

The post Agenda Malaysia Biru bukan retorik politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved