
KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru tidak seharusnya dijadikan polemik oleh mana-mana pihak termasuk penganalisis kerana ia merupakan dasar dan tawaran Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda berkenaan menggariskan lapan agenda besar yang akan menjadi landasan utama perjuangan parti.
“Saya fikir perkara ini tidak harus dijadikan sebagai satu polemik oleh mana-mana penganalisis kerana itu adalah dasar dan tawaran kami yang digariskan melalui lapan agenda besar dalam Agenda Malaysia Biru,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Agenda Malaysia Biru yang dibentangkannya dalam ucapan dasar akan ditawarkan bukan sahaja kepada ahli parti, malah seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, agenda tersebut juga akan dimasukkan sebagai elemen utama dalam manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bagaimanapun, katanya, perkara itu terlebih dahulu akan dibincangkan bersama kepimpinan parti-parti komponen BN dan Friends of BN sebelum disahkan sebagai manifesto rasmi.
“Untuk manifesto BN, kita akan memasukkan agenda ini sebagai elemen utama dan ia akan menjadi manifesto rasmi selepas kita berbincang dengan kepimpinan rakan-rakan komponen BN serta Friends of BN.
“Perkara itu akan kita sahkan selepas proses penyediaan manifesto dilakukan sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN
The post Jangan polemikkan Agenda Malaysia Biru – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.






