Agenda Malaysia Biru pacu hala tuju masa depan negara – Azalina Othman

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 8:02 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Penerangan UMNO Malaysia menyokong penuh Agenda Malaysia Biru yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai kerangka perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam membina keyakinan rakyat serta mempersiapkan Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan.

Image from: Agenda Malaysia Biru pacu hala tuju masa depan negara – Azalina Othman

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, agenda berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut politik pilihan raya, sebaliknya perlu menjadi asas kepada persoalan mengenai bentuk Malaysia yang ingin dibangunkan sekiranya rakyat kembali memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memimpin negara.

“Agenda Malaysia Biru membawa kita melangkaui politik pilihan raya. Persoalannya bukan sekadar bagaimana kita mahu menang, tetapi apakah Malaysia yang mahu kita bina sekiranya rakyat sekali lagi memberikan kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk memimpin negara,” katanya.

Menurut beliau, matlamat yang ingin dicapai melalui Agenda Malaysia Biru adalah untuk membentuk sebuah negara yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama, serta Unggul dan Disegani Dunia.

Azalina berkata, walaupun UMNO mempunyai sejarah panjang dalam pembinaan negara, pengalaman lalu semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Image from: Agenda Malaysia Biru pacu hala tuju masa depan negara – Azalina Othman

“UMNO mempunyai sejarah panjang membina negara, tetapi sejarah sahaja tidak menjamin kepercayaan rakyat. Kepercayaan mesti diperoleh melalui tawaran masa hadapan iaitu dasar yang lebih baik, penyelesaian yang realistik dan kepimpinan yang mampu menjawab cabaran generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, menjelang satu abad kemerdekaan, UMNO dan BN perlu mempunyai gambaran yang jelas mengenai negara yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

Tegasnya, mandat yang diberikan rakyat tidak seharusnya dianggap sebagai ganjaran kepada mana-mana parti, manakala kuasa pula bukan matlamat utama perjuangan.

“Mandat bukan ganjaran kepada sebuah parti dan kuasa bukan matlamat perjuangan. Mandat adalah amanah untuk membina masa depan Malaysia,” tambahnya lagi.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved