Agenda Malaysia Biru persiap Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan - Penerangan UMNO

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Agenda Malaysia Biru persiap Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan - Penerangan UMNO
Azalina

SHAH ALAM - Agenda Malaysia Biru yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai kerangka parti itu dan Barisan Nasional (BN) bertujuan membina keyakinan rakyat serta mempersiapkan Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, agenda itu membawa UMNO melangkaui politik pilihan raya.

"Persoalannya bukan sekadar bagaimana kita mahu menang, tetapi apakah Malaysia yang mahu kita bina sekiranya rakyat sekali lagi memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memimpin negara.

"Matlamat kita jelas iaitu mahukan sebuah Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif dan berpendapatan tinggi, rakyat makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menggariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun kemerdekaan negara sekiranya BN kembali menerajui Putrajaya.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, agenda berkenaan membawa maksud Malaysia berdaulat dan bersatu, mewujudkan negara berpendapatan tinggi, makmur, saksama dan disegani di seluruh dunia.

Tambah Azalina, UMNO mempunyai sejarah panjang membina negara, tetapi sejarah sahaja tidak menjamin kepercayaan rakyat.

Jelasnya, kepercayaan mesti diperoleh melalui tawaran masa hadapan iaitu dasar yang lebih baik, penyelesaian realistik dan kepimpinan yang mampu menjawab cabaran generasi akan datang.

"Menjelang satu abad kemerdekaan, kita mesti jelas tentang negara yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.

"Mandat bukan ganjaran kepada sebuah parti dan kuasa bukan matlamat perjuangan. Mandat adalah amanah untuk membina masa depan Malaysia," ulasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved