haziq09/01/2026 - 12:52 Sipzz lancar Flagship Store pertama di Paradigm Mall PJ. - Foto Haziq Hakimi/ DagangNews Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Jan — Sipzz, jenama tumbler gaya hidup berteraskan Gen Z yang diasaskan di Singapura, secara rasmi melancarkan Flagship Store pertamanya di Paradigm Mall, Petaling Jaya, sekali gus menandakan kemasukan strategik jenama itu ke pasaran Malaysia.
Menurut Sipzz, kedai utama berkonsepkan rekaan pastel yang ceria itu direka bagi membolehkan pengguna mengekspresikan mood, warna dan personaliti masing-masing sambil menggalakkan tabiat pengambilan air harian ke arah kesejahteraan yang lebih baik.
Berteraskan falsafah “Drop the Boring, Sip the Fun”, Sipzz mentakrifkan semula amalan hidrasi sebagai satu gaya hidup dan bukan sekadar rutin harian.
Tumbler Sipzz diperbuat daripada keluli tahan karat 304 gred makanan yang menawarkan ketahanan tinggi, keselamatan serta pengekalan suhu yang lebih baik berbanding produk konvensional.
Menurut syarikat itu, beberapa produk terpilih termasuk H2O Medium dan H2O Large telah menerima pensijilan SGS, sekali gus memberikan jaminan tambahan dari segi kualiti dan keselamatan untuk penggunaan harian.
Seiring peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna muda, Sipzz melihat Gen Z kini semakin menitikberatkan hidrasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup seimbang.
Tambah Sipzz, hidrasi dikenal pasti sebagai antara keperluan kesejahteraan utama yang menyumbang kepada peningkatan fokus, emosi dan kesejahteraan harian.

Pengurus Pemasaran Sipzz Malaysia, Catherine Soo
Pengurus Pemasaran Sipzz Malaysia, Catherine Soo berkata, matlamat utama jenama itu adalah untuk menjadikan tabiat minum air satu pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna melalui reka bentuk tumbler yang kreatif dan praktikal.
“Apabila hidrasi menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bersifat peribadi, pengguna akan secara semula jadi minum lebih banyak air. Sipzz diwujudkan untuk menjadikan tabiat ini sebahagian daripada rutin harian gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui DagangNews pada majlis pembukaan rasmi tersebut.
Sempena pembukaan Flagship Store itu, Sipzz turut memperkenalkan dua koleksi edisi terhad iaitu Koleksi Spring dan Koleksi Mew Mew.
Koleksi Spring menampilkan rekaan segar dan ceria berinspirasikan musim bunga manakala Koleksi Mew Mew pula mengetengahkan elemen comel, kreatif dan penuh personaliti.
Menurut Soo, Sipzz merancang untuk memperkenalkan koleksi edisi terhad setiap suku tahun bagi memenuhi keutamaan Gen Z yang lebih menitikberatkan aspek penjenamaan dan estetika berbanding ciri teknikal semata-mata.
“Gen Z hari ini tidak hanya melihat kepada harga atau fungsi. Mereka mahu produk yang mencerminkan identiti dan gaya hidup. Itu sebabnya kami memfokuskan kepada reka bentuk, personalisasi dan pengalaman,” katanya.

Tumbler Sipzz
Pengunjung Flagship Store juga berpeluang mengukir nama sendiri pada tumbler pilihan mereka, sekali gus menjadikan setiap produk lebih unik dan peribadi.
Harga produk Sipzz ditawarkan bermula dari RM49.90 bagi coffee cups sehingga RM149.90 bagi mega bottles, menjadikannya mampu milik untuk pelbagai segmen pengguna.
Mengulas perancangan pengembangan, Soo berkata, Sipzz menyasarkan pembinaan komuniti pelanggan dan pembelian berulang dalam jangka pendek hingga sederhana, selain memperkukuh pembangunan produk dan kolaborasi jenama.
“Syarikat mahu membina komuniti, bukan sekadar pelanggan. Dengan edisi terhad dan produk baharu yang lebih ‘fun’, pengguna akan kembali dan mengumpul koleksi,” katanya.
Sipzz turut merancang pembukaan beberapa kedai konsep lain di Paradigm Mall JB, Sungei Wang Plaza, 1st Avenue Penang, JBCC dan Sunway Square pada suku pertama 2026.
Selain itu, produk Sipzz juga boleh didapati di store-in-store Tataa & Friends serta platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok Shop.
Flagship Store Sipzz di Paradigm Mall PJ dibuka dari 9 hingga 11 Januari 2026, menawarkan pengalaman jenama yang imersif termasuk demonstrasi ukiran, pratonton produk dan aktiviti interaktif sempena pelancaran koleksi edisi terhad tersebut. - DagangNews.com



