Jangan jadikan media sosial pentas menghina -Agong

17 Oct 2026 • 10:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadikan media sosial pentas menghina -Agong

PETALING JAYA: Media sosial tidak seharusnya dijadikan pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini menyaksikan ada pihak yang lupa adab sehingga bebas menghina, mencaci, memaki dan menjatuhkan maruah orang lain.

Seri Paduka Baginda justeru itu mengingatkan rakyat khususnya generasi muda untuk menggunakan media sosial dengan penuh adab dan menghormati orang lain.

“Suka saya ingatkan setiap kebebasan datang bersama tanggungjawab. Saya seru gunakan media sosial dengan penuh adab serta hormat kepada orang lain.

“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang,” titah Sultan Ibrahim dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-105 hari ini. 

Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UiTM bertitah supaya teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak disalahgunakan untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat menghina serta memalukan seseorang.

Sultan Ibrahim menyeru rakyat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya.

“Jangan kerana mahu jadi orang pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian,” titah Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, perbezaan pandangan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya ia boleh disampaikan dengan bahasa yang baik dan beradab.

Titah Seri Paduka Baginda, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci serta dicaci, terdapat insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.

Yang di-Pertuan Agong justeru itu berharap dapat melihat sebuah masyarakat yang matang dan berkomunikasi secara bebas serta bersuara dengan penuh adab.

“Berani memberi pandangan tetapi tidak menghina dan tegas mempertahankan pendirian tanpa menanam kebencian.

“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan Kampus Jalan Othman dinamakan sebagai Kampus Tun Arshad Ayub sebagai menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub terhadap penubuhan dan pembangunan UiTM.

Sultan Ibrahim bertitah, universiti berkenaan telah melalui tujuh dekad dalam membangun dan mengangkat martabat bangsa.

“Sepanjang tempoh tersebut banyak nama-nama besar yang telah menempuh pintu gerbang universiti ini. Antara tokoh besar yang amat berjasa ialah Allahyarham Tun Arshad Ayub yang telah menaruhi penubuhan dan pembangunan universiti ini semenjak tahun 1965.

“Justeru, sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, saya telah berkenan Kampus Jalan Othman untuk dinamakan sebagai Kampus Tun Arshad Ayub.

“Semoga segala jasa beliau dilimpahi dengan ganjaran daripada Allah SWT,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah kepada para graduan, ibu bapa dan seluruh keluarga universiti atas kejayaan yang dicapai.

“Semoga Universiti Teknologi Mara akan terus memaju kejayaan dalam melahirkan anak bangsa yang berjaya demi kemajuan negara,” titah Sultan Ibrahim. –UTUSAN

The post Jangan jadikan media sosial pentas menghina -Agong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved