Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menghina, mencetuskan permusuhan atau menjatuhkan maruah individu lain, khususnya menerusi media sosial.
Seri Paduka Baginda bertitah, setiap individu berhak menyuarakan pendapat dan mempertahankan pendirian masing-masing, namun perkara itu perlu dilakukan dengan penuh adab serta rasa tanggungjawab.

Menurut baginda, perbezaan pandangan sepatutnya diraikan secara matang dan bukannya dijadikan alasan untuk bermusuhan atau menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.
“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, baginda turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan kandungan palsu yang bertujuan memalukan atau mengaibkan seseorang.
“Ada pula yang menyalah guna teknologi kecerdasan buatan untuk menghasilkan gambar-gambar dan video palsu dengan niat untuk menghina dan memalukan seseorang.
“Ingatlah bahawa, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan,” titah baginda.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
Baginda turut menekankan bahawa adab memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan serta membentuk maruah sesebuah negara.
“Sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara,” titah baginda.
Sumber: Astro Awani








