
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya sekolah di kawasan yang terjejas akibat jerebu ditutup bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar diberi keutamaan.
Seri Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berpanjangan pada paras antara 150 hingga 180, selain meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap keadaan itu.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi melindungi murid dan pelajar termasuk warga emas serta pesakit yang mempunyai masalah pernafasan.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan termasuk memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar berikutan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media dan Komunikasi Diraja (RPO), hari ini.
Titah berkenaan susulan keadaan jerebu yang berterusan melanda beberapa kawasan di negara ini, dengan kualiti udara semakin merosot di sejumlah lokasi.
Sultan Ibrahim turut menegaskan kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu terus menjadi keutamaan dalam keadaan semasa.
Semalam, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari susulan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk dan kemerosotan kualiti udara di negeri itu. - Getaran, 8 Oktober 2026






