
PETALING JAYA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan ditutup mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, ketetapan itu dibuat berdasarkan catatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua stesen pemantauan iaitu Cheras dan Batu Muda setakat pukul 2 petang hari ini.
Menurutnya, keputusan tersebut juga selaras dengan kenyataan KPM hari ini selain mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.
“Institusi pendidikan yang terjejas perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan,” katanya dalam kenyataan.
JPWPKL bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa dan ketetapan KPM.
Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan jerebu selain memastikan keselamatan serta kesihatan anak-anak sepanjang keadaan berkenaan.
Terdahulu, sekolah di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Putrajaya turut diumumkan ditutup esok susulan peningkatan bacaan IPU ke tahap tidak sihat.
Penutupan di beberapa negeri dan wilayah itu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan murid serta warga pendidikan kepada keadaan udara yang tidak sihat. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Giliran KL pula tutup semua sekolah esok appeared first on Kosmo Online.






