
KOTA BHARU – Agrobank mengukuhkan komitmen sebagai intitusi kewangan pembangunan (DFI) yang menerajui pembangunan sektor agromakanan negara menerusi penyertaan sebagai penaja utama pameran pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank menjadi platform nasional untuk menghimpunkan semua pemain industri, usahawan, pelabur, institusi kewangan dan agensi kerajaan untuk MAHA tahun ini.
“Kita akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada transformasi sektor agro melalui penyelesaian kewangan yang inovatif, sokongan kepada penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden.
“Penyertaan Agrobank sebagai penaja utama merupakan manifesto komitmen bank dalam memperkukuhkan daya tahan sektor agromakanan negara melalui penyelesaian kewangan yang menyokong keseluruhan rantaian nilai industri,” katanya ketika ditemui media pada Program Road To MAHA 2026 Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sebuah pusat beli-belah di Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah memberitahu, keterjaminan makanan bukan sekadar memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, malah ia bermula dengan mewujudkan ekosistem bagi membolehkan setiap pemain dalam rantaian nilai agromakanan termasuk petani, penternak, nelayan dan usahawan, pemproses, pengedar serta pengeksport agar terus berkembang.
“Penglibatan Agrobank juga mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong agenda nasional ke arah memperkukuhkan keterjaminan makanan serta membangunkan ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan.
“Agrobank berperanan memastikan platform MAHA untuk memperkukuhkan huhungan komuniti agro, memperluaskan akses kepada penyelesaian kewangan,” ujarnya.
Beliau berkata, Agrobank berjaya merekodkan potensi pembiayaan bernilai RM1.57 billion bersama 120.76 peratus daripada sasaran RM1.30 billion yang ditetapkan pada MAHA 2024 yang lepas. Ini membuktikan keberkesannnya menerusi penglibatan sebagai penaja utama.
“Bagi MAHA tahun ini, kita menyasarkan untuk memperluaskan impak yang dijangka dihadiri oleh empat juta pengunjung. Agrobank juga menawarkan penyelesaian perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti pertanian dan ini dilaksanakan menerusi rangkaian yang merangkumi 188 cawangan dan 31 rangkaian perbankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Agrobank diumum penaja utama MAHA 2026 appeared first on Kosmo Digital.






