liza05/08/2026 - 18:20 HLIB bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO tersebut Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – GTA Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) sebagai persediaan bagi tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Langkah itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam proses penyenaraian syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, khususnya bagi enjin helikopter, pesawat serta alat ganti dan komponennya.
HLIB bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO berkenaan yang melibatkan penerbitan 205 juta saham baharu serta tawaran jualan 124 juta saham sedia ada.
IPO tersebut merangkumi 329 juta saham atau kira-kira 25.48% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.29 bilion saham selepas penyenaraian.
Perjanjian itu turut mencerminkan keyakinan terhadap model perniagaan GTA, keupayaan teknikal serta prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat, selain mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan pelaksanaan IPO berjalan lancar.
Peruntukan saham kepada pelabur institusi dan orang ramai
Daripada jumlah itu, sehingga 251.52 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk 127.52 juta saham baharu serta 124 juta saham sedia ada.
Baki 77.48 juta saham pula diperuntukkan kepada tawaran runcit membabitkan orang awam Malaysia dan pengarah serta pekerja yang layak.
HLIB akan menaja jamin keseluruhan 77.48 juta saham di bawah tawaran runcit, tertakluk kepada mekanisme peruntukan semula yang dinyatakan dalam prospektus, manakala baki saham di bawah tawaran institusi akan ditempatkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, perjanjian itu menjadi satu lagi pencapaian penting ketika syarikat semakin menghampiri penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Beliau berkata, GTA telah membina reputasi sebagai penyedia penyelesaian MRO penerbangan yang dipercayai menerusi kepakaran teknikal, hubungan kukuh dengan pelanggan serta kerjasama strategik bersama rakan industri global.
“Hasil daripada penerbitan saham baharu akan digunakan untuk membina kemudahan operasi baharu, mengembangkan operasi MRO helikopter ke Timur Tengah, memperluaskan keupayaan ke dalam segmen MRO gear pendaratan, roda dan brek pesawat, selain membiayai modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyenaraian sokong fasa pertumbuhan seterusnya
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng berkata, pihaknya berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam proses penyenaraian GTA di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Beliau berkata, GTA beroperasi dalam segmen khusus industri sokongan penerbangan dengan rekod prestasi yang kukuh dalam keupayaan teknikal dan hubungan industri, sekali gus menyediakan asas yang baik untuk pertumbuhan masa depan.
“Penyenaraian ini akan meningkatkan profil syarikat serta menyokong fasa pengembangannya yang seterusnya,” katanya.- DagangNews.com






