AGROBANK akan menanggung 50 peratus kos pengajian pekerjanya yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) menerusi program sokongan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification (APEL Q).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif yang akan bermula tahun ini dilaksanakan selaras dengan usaha kerajaan memperkasa pembangunan kerjaya penjawat awam dan tenaga kerja profesional di negara ini.
Menurut beliau, program itu menyediakan laluan alternatif kepada kakitangan Agrobank untuk memperoleh kelayakan akademik dengan mengiktiraf pengetahuan serta kompetensi yang dibangunkan melalui pengalaman kerja.
“Bagi menampung baki 50 peratus kos pengajian, warga kerja Agrobank boleh memohon Staff Educational-i Financing Program dengan pembiayaan sehingga RM50,000 atau baki yuran sebenar, mengikut mana-mana yang lebih rendah.
“Program ini memberi ruang kepada warga kerja berpengalaman meningkatkan kelayakan akademik tanpa mengetepikan pengalaman profesional,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan pengalaman profesional dijadikan asas untuk melanjutkan pengajian mengikut bidang masing-masing.
Menurutnya, program tersebut terbuka kepada warga kerja Agrobank yang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana atau PhD, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Pelaksanaan program ini juga merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat Agrobank bagi melahirkan warga kerja yang lebih kompeten, adaptif dan bersedia memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.
Beliau berkata, program itu diperkenalkan seiring dengan inisiatif kerajaan untuk memperkasa pembangunan kerjaya penjawat awam serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Tambahnya, Agrobank melihat peluang pembelajaran berterusan sebagai pendekatan penting untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja dalam menghadapi perubahan keperluan industri.
“Langkah ini selaras dengan usaha bank memperkukuh pembangunan modal insan bagi menyokong pelaksanaan mandatnya sebagai institusi kewangan pembangunan,” katanya.






