
PETALING JAYA: Tan Sri Hamidin Mohd Amin muncul calon pilihan untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas bekas Presiden FAM itu difahamkan menerima pencalonan tertinggi daripada ahli gabungan badan induk berkenaan.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, jumlah 12 pencalonan yang diterima setakat ini meletakkan Hamidin di depan dua lagi pencabar utama, Datuk Ab Ghani Hassan yang memperoleh tujuh pencalonan, manakala Datuk Seri Shahril Mokhtar dari Selangor empat pencalonan.
Perkembangan itu kata sumbwer itu, memberi gambaran awal mengenai sokongan ahli gabungan menjelang Kongres Pemilihan FAM yang dijadual berlangsung 17 September ini, dengan perebutan kerusi No.1 badan induk bola sepak negara dijangka sengit.
“Itu berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima dan ketiga-tiga calon presiden itu juga sudah melepasi proses tapisan, ini bermakna mereka layak bertanding. Namun segalanya terpulang kepada mereka sama ada menerima pencalonan atau tidak untuk merebut jawatan itu.
“Kalau dilihat sokongan kuat kepada Hamidin, mungkin kerana pengalaman yang dimiliki oleh bekas Presiden FAM itu selain hubungan baiknya dengan badan induk lain termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, sumber itu memaklumkan, biarpun Hamidin menjadi calon popular, ia bukan satu jaminan kerana perubahan saat-saat akhir berkemungkinan berlaku, khususnya apabila ada pakatan tertentu yang membentuk ‘kumpulan’ awal.
“Semua boleh berlaku sebenarnya, macam silap mata…sekarang memang Hamidin jadi calon popular, menjelang pemilihan mungkin berlaku perkara luar jangka, Jadi, sekarang kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang akan terajui FAM,” katanya.
Sebelum ini, Hamidin yang kini menyandang jawatan Presiden Kehormat FAM mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ apabila ditanya mengenai kemungkinan kembali merebut kerusi panas berkenaan.
Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA mengakui tidak menolak kemungkinan bertanding sekiranya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan, namun menegaskan keputusan itu bukan sesuatu yang dibuat secara terburu-buru.
“Saya masih belum memikirkan lagi, tapi dalam hati saya kalau ada individu yang betul-betul bagus, bagus daripada saya, kenapa tidak, saya akan gembira,” katanya sebelum ini.
Hamidin turut menjelaskan bahawa beliau menyerahkan keputusan kepada ahli gabungan FAM dan hanya akan mempertimbangkan semula hasrat itu sekiranya namanya benar-benar dicalonkan.
“Kalau betul ada orang mencalonkan saya, saya akan fikir balik. Namun, yang penting sebelum saya buat keputusan, saya mesti dapat restu daripada isteri dan anak-anak saya,” katanya.
Hamidin pernah menegaskan bahawa kerusi Presiden FAM bukan sesuatu yang perlu dikejar kerana dirinya sudah pernah merasai tanggungjawab tersebut selepas hampir tujuh tahun mengetuai badan induk itu.
Namun, sokongan 12 pencalonan yang diterima kini boleh mengubah landskap persaingan, sekali gus meletakkan Hamidin sebagai calon paling mendapat kepercayaan ahli gabungan berdasarkan jumlah pencalonan yang diterima setakat ini.
Pengalaman Hamidin di peringkat tempatan dan antarabangsa turut menjadi antara faktor yang menguatkan kedudukannya. Beliau masih mempunyai pengaruh melalui penglibatan dalam FIFA dan AFC, selain pernah membawa FAM melalui pelbagai agenda reformasi termasuk pelan F:30.
Jika Hamidin mengesahkan kesediaan untuk bertanding, beliau bakal berdepan Ghani dan Shahril dalam persaingan yang bukan sekadar merebut jawatan Presiden FAM, malah menentukan hala tuju baharu badan induk itu ketika usaha pemulihan dan reformasi bola sepak negara sedang diberi perhatian. – UTUSAN
The post Hamidin dapat sokongan kuat ahli gabungan appeared first on Utusan Malaysia.





