
PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) digesa memastikan proses tapisan calon bagi mencari kepimpinan baharu badan induk itu dilaksanakan secara telus dan profesional menjelang Kongres Pemilihan yang bakal diadakan pada 17 September depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, perhatian kini tertumpu kepada proses semakan dan pengesahan calon selepas pencalonan difahamkan ditutup pada 18 Julai lepas.
Menurut Ahmad Muzakkir, proses tersebut perlu bebas daripada sebarang campur tangan atau layanan berbeza terhadap mana-mana individu yang bertanding demi menjaga kredibiliti serta integriti organisasi.
“Ketelusan bukan sahaja penting untuk menjaga integriti FAM, malah mampu mengembalikan keyakinan penyokong, pemain, ahli gabungan dan seluruh pemegang taruh bola sepak negara,” katanya.
Ahmad Muzakkir turut mencadangkan FAM memaklumkan kepada umum tempoh proses tapisan serta jangkaan tarikh pengumuman senarai calon yang layak bertanding bagi mengelakkan pelbagai spekulasi.
“FAM wajar memaklumkan kepada umum tempoh proses semakan, kaedah penilaian yang digunakan serta jangkaan tarikh pengumuman senarai calon yang layak bertanding.
“Penjelasan yang terperinci mengenai prosedur tapisan mampu mengelakkan sebarang spekulasi serta salah faham.
“Saya harap siapa sahaja yang dipilih kelak mestilah benar-benar mempunyai keupayaan, kredibiliti, visi dan komitmen untuk memajukan bola sepak Malaysia, bukannya sekadar memenuhi jawatan semata-mata,” katanya.
Sebanyak 11 kerusi bakal menjadi rebutan pada struktur baharu FAM nanti dengan jawatan utama, Presiden akan menerajui organisasi selain dibantu tiga kerusi Naib Presiden, manakala baki adalah adalah untuk jawatan Exco.
The post FAM perlu buktikan ketelusan, kredibiliti appeared first on Kosmo Digital.






