
SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli majlis perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai penghubung antara penduduk dengan agensi kerajaan bagi membantu menyelesaikan isu masyarakat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peranan itu penting bagi memastikan masalah dibangkitkan rakyat dapat dirujuk kepada jabatan berkaitan.
“Ahli majlis perlu merujuk rakyat kepada jabatan berkaitan,” katanya pada program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Amirudin berkata penduduk yang tidak dapat bertemu pemimpin tempatan untuk menyuarakan masalah turut boleh mendapatkan bantuan daripada ketua jabatan atau pegawai berkaitan.
Menurutnya, pegawai terbabit mempunyai pemahaman lebih mendalam mengenai aspek teknikal serta penyelesaian yang bersesuaian bagi menangani aduan tertentu.
“Kadangkala pengarah jabatan yang boleh menyelesaikan masalah kerana mereka memahami perancangan, risiko dan penyelesaiannya,” katanya.
Beliau berkata kepakaran jabatan berkaitan membolehkan sesuatu aduan diteliti berdasarkan perancangan, risiko serta kaedah penyelesaian yang sesuai.
Pada masa sama, Amirudin turut menawarkan untuk meneliti sendiri aduan masyarakat yang dihantar kepadanya menerusi media sosial.
“Jika ada aduan yang dihantar kepada saya melalui mesej langsung, saya boleh semak,” katanya.






