Jelaskan status projek mega Sabah yang ‘dibatalkan’: Warisan

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 5:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Jelaskan status projek mega Sabah yang ‘dibatalkan’: Warisan

Kota Kinabalu: Ahli Majlis Tertinggi Warisan Chen Ket Chuin @ KC (gambar) mahu Kerajaan Persekutuan mendedahkan senarai penuh dan jumlah nilai keseluruhan 14 projek mega di Sabah yang didakwa dibatalkan selepas peruntukan tidak disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Chen berkata dakwaan yang dilaporkan dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno 2026 itu adalah serius kerana ia melibatkan infrastruktur asas yang memberi kesan kepada rakyat Sabah termasuk jalan luar bandar, hospital dan sekolah.

“Jika benar 14 projek di Sabah membabitkan jalan raya, hospital dan sekolah telah dibatalkan atau tertangguh maka rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar dengan segera.

“Projek mana yang terjejas, di mana lokasinya, berapa jumlah yang diluluskan, siapa yang gagal menyalurkan peruntukan dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjanjikan sesuatu yang tidak pasti kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai pertikaian dalaman antara kementerian, pegawai Perbendaharaan atau pemimpin politik.

“Ini mengenai anak-anak Sabah yang menunggu sekolah yang sempurna, masyarakat luar bandar yang menunggu jalan raya, pesakit yang menunggu kemudahan kesihatan dan kontraktor yang menunggu bayaran bagi kerja-kerja awam. Rakyat Sabah tidak boleh dijadikan mangsa kekeliruan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Chen berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan dilaporkan menafikan bahawa peruntukan telah dibekukan manakala pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula membangkitkan kebimbangan mengenai kelewatan pembayaran, peruntukan yang telah habis dan komitmen yang ditangguhkan.

“Orang ramai kini mendengar penjelasan yang berbeza daripada pihak-pihak berbeza dalam Kerajaan Persekutuan.

“Justeru itu pendedahan penuh diperlukan. Jika tiada pembatalan, nyatakan dengan jelas. Jika berlaku kelewatan, jelaskan sebabnya,” tegasnya.

Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menerbitkan senarai penuh 14 projek berkenaan, daerah dan lokasi, peruntukan yang diluluskan serta jumlah nilai setiap projek, status semasa dan sebab bagi sebarang kelewatan atau pembatalan selain garis masa untuk memulihkan atau menyiapkan projek yang terjejas.

Beliau berkata isu itu turut mengukuhkan kepentingan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan tuntutan 40 peratus hasil dikembalikan kepada Sabah dilaksanakan tanpa kelewatan lanjut.

“Sabah mesti mempunyai autonomi kewangan untuk membina jalan raya, sekolah, klinik dan kemudahan asas sendiri tanpa perlu sentiasa meminta apa yang sememangnya menjadi hak kita,” katanya sambil menambah Kerajaan Persekutuan mesti menangani perkara itu dengan segera dan memberikan penjelasan yang jelas kepada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah berhak mendapat jawapan, bukan jaminan yang samar-samar. Berdiam diri hanya akan meningkatkan lagi syak wasangka awam bahawa pembangunan Sabah sekali lagi dianggap sebagai sesuatu yang boleh diketepikan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved