Ahli Parlimen ditegur berhati-hati guna istilah agama

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 4:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ahli Parlimen ditegur berhati-hati guna istilah agama

PETALING JAYA: Ahli Parlimen digesa supaya berhati-hati dan mengelakkan penggunaan istilah agama semasa berbahas di Dewan Rakyat bagi mengelakkan salah faham, khususnya dalam kalangan wakil rakyat bukan Islam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu penting disebabkan tahap pemahaman setiap Ahli Parlimen yang berbeza-beza, termasuk wakil rakyat yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, penggunaan perkataan yang sensitif atau berunsur keagamaan hanya akan memanjangkan tempoh perbahasan serta membazirkan masa persidangan yang sepatutnya difokuskan kepada isu dan masalah rakyat.

“Saya bukan sekolah agama, saya sekolah Inggeris yang amat-amat takut menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang mungkin tinggi yang saya tak faham. Bagi saya kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus. Sebab saya bukan daripada sekolah agama.

“Begitulah juga orang Islam dan orang bukan Islam yang bila dengar perkataan-perkataan ini dia berdebar, apatah lagi diucapkan oleh orang yang berpengetahuan agama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari dalam masa yang sama turut menasihatkan wakil rakyat supaya mengutamakan akhlak serta mengelakkan sikap mahu menunjuk-nunjuk kehebatan latar belakang pendidikan agama masing-masing sehingga menakutkan atau
mengelirukan pihak lain.

Sikap sedemikian, tegasnya, hanya membuka ruang perbalahan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada dewan persidangan.

Terdahulu, isu berkenaan dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) merujuk Peraturan Mesyuarat 36(4) berhubung penggunaan perkataan kurang sopan, susulan ucapan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika membahaskan
Belanjawan 2027.

Rayer mendakwa Takiyuddin memetik hadis sebelum menterjemahkannya ke bahasa Melayu dengan menggunakan istilah ‘munafik’ dan ‘hipokrit’ yang didakwa ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta belanjawan yang dibentangkan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan, Rayer memohon keputusan dibuat berhubung penggunaan perkataan berkenaan memandangkan Timbalan Speaker sebelum ini pernah menasihatkan Ahli Parlimen supaya berpada-pada ketika berbahas.

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan beliau akan meneliti Hansard Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan rasmi esok, memandangkan beliau tidak berada di dalam dewan ketika perbahasan tersebut berlaku. – UTUSAN

 

 

The post Ahli Parlimen ditegur berhati-hati guna istilah agama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved