Ahli Parlimen Kota Melaka dipanggil polis isu bantuan Deepavali

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahli Parlimen Kota Melaka dipanggil polis isu bantuan Deepavali
Poay Tiong

KOTA MELAKA - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi memberikan keterangan berhubung program bantuan sempena Deepavali yang dianjurkan pejabatnya sebelum ini di Medan Selera Taman Melaka Baru.

Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP Melaka berkata, panggilan daripada pihak polis itu diterima ketika beliau sedang menjalankan aktiviti kempen pada pagi Sabtu.

Menurutnya, program berkenaan dianjurkan bagi memudahkan penduduk yang memerlukan mendapatkan bantuan, dengan lokasi dipilih berdasarkan keadaan dan keperluan keluarga penerima.

Katanya, pemilihan Medan Selera Taman Melaka Baru bertujuan memudahkan penerima mendapatkan bantuan tanpa perlu bersusah payah hadir ke Pusat Khidmat Parlimennya di Taman Kota Laksamana Jaya.

"Program kebajikan komuniti sempena Deepavali itu bukan perkara baharu kerana dianjurkan setiap tahun di kawasan Taman Melaka Baru.

"Tahun ini, kebetulan program tersebut berlangsung dalam tempoh kempen pilihan raya, lalu ada pihak yang membuat laporan polis dengan mendakwa saya menyalahgunakan aset kerajaan," katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, Medan Selera Taman Melaka Baru merupakan tempat awam dan sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan, penganjuran program kemasyarakatan serta usaha membantu penduduk yang memerlukan adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada rakyat.

Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, beliau memahami terdapat isu membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang didakwa menggunakan aset kerajaan iaitu Japerun Rim untuk menganjurkan program sumbangan bantuan Deepavali.

Bagaimanapun, katanya, insiden itu tidak seharusnya disamakan dengan program bantuan masyarakat yang dianjurkan di tempat awam.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan bersedia menjelaskan perkara sebenar.

"Saya tetap percaya bahawa usaha membantu golongan yang memerlukan tidak sepatutnya diberikan tafsiran politik yang tidak wajar hanya kerana ia berlangsung dalam musim pilihan raya.

"Keperluan rakyat tidak sepatutnya terhenti hanya kerana pilihan raya," jelasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved