Ahli politik Filipina didakwa taja jet bawa 521kg syabu ke Loas

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ahli politik Filipina didakwa taja jet bawa 521kg syabu ke Loas

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan seorang ahli politik negara itu membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521 kilogram (kg) dadah disyaki syabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya berkongsi maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berhubung kes tersebut.

Menurut beliau, pihaknya turut mengesan dua warga Filipina yang dipercayai membuat tempahan jet peribadi berkenaan.

“Setakat ini, kita masih tunggu pengesahan rasmi daripada pihak Filipina sama ada sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan ahli politik negara itu atau sebaliknya.

“Apa yang dilaporkan mengenai penglibatan ahli politik itu setakat ini adalah berdasarkan laporan media di sana (Filipina,” katanya pada sidang akhbar kejayaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Semalam, media Filipina melaporkan seorang ahli politik dari Mindanao didakwa membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521kg syabu bernilai 3.54 bilion peso (RM246 juta).

Jurucakap PDEA, Joseph Frederick Calulut dilaporkan berkata, ahli politik terbabit dipercayai membayar 31 juta peso bagi menyewa pesawat tersebut.

Kes itu turut mendapat perhatian pihak berkuasa Malaysia berikutan laluan penerbangan yang dikaitkan dengan penghantaran dadah dari Subang ke Laos.

Hussein berkata, kerjasama antara PDRM dan PDEA diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta mengesahkan dakwaan berhubung penglibatan individu berkenaan.

Siasatan lanjut dijangka dapat memperjelas peranan dua individu warga Filipina yang dikenal pasti membuat tempahan jet peribadi itu serta kemungkinan kaitan mereka dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Terdahulu, media melaporkan Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.

Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper dilaporkan berkata, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.

Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada pukul 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.-KOSMO! ONLINE

The post Ahli politik Filipina didakwa taja jet bawa 521kg syabu ke Loas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved