
KUALA LUMPUR – Sindiket dadah antarabangsa dipercayai sanggup membayar AS$49,500 (RM202,455) bagi menempah perkhidmatan jet persendirian untuk membawa dadah dari Laos ke Manila, Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis kini sedang mengesan individu dipercayai warga Filipina yang membuat tempahan penerbangan berkenaan.
Menurutnya, maklumat berkaitan individu terbabit telah dikongsi dengan pihak berkuasa Filipina bagi membantu usaha mengesan dan menangkapnya.
“Kita masih menyiasat dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai individu yang membuat tempahan ini, yang kita percaya berasal dari Filipina.
“Kita telah berkongsi maklumat berkaitan dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengesan dan menangkap individu berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang pemilik syarikat penerbangan persendirian ditahan bagi membantu siasatan kes rampasan 521 kilogram dadah jenis kristal disyaki methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, pada 1 Oktober lalu.
Hussein berkata, lelaki tempatan berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurutnya, kes berkenaan membabitkan sindiket antarabangsa dan polis perlu meneliti kemungkinan kesalahan yang berlaku di Malaysia, Laos serta Filipina bagi menentukan tindakan lanjut mengikut undang-undang negara masing-masing.
“Setakat ini, perkara yang boleh saya sahkan ialah dadah itu bukan dibawa dari Malaysia ke Laos.
“Kita percaya sindiket menggunakan perkhidmatan penerbangan berkenaan untuk membawa dadah dari negara tersebut ke negara destinasi seperti yang dirancang,” katanya.
Terahulu, media melaporkan pesawat berkenaan berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi.
Kira-kira dua jam kemudian, dua kenderaan tiba membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat terbabit.
Susulan kejadian itu, seramai 13 individu termasuk seorang rakyat Malaysia serta warga Singapura dan Filipina ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.
Hussein berkata, pihaknya masih menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos untuk menemui rakyat Malaysia yang ditahan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu. – KOSMO! ONLINE
The post Tempah jet peribadi lebih RM200,000 seludup bahan terlarang appeared first on Kosmo Online.






