
KUALA LUMPUR - Sebuah perkhidmatan sewaan jet peribadi yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dipercayai digunakan sindiket antarabangsa bagi membawa dadah dari Laos ke Manila, Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, siasatan awal mendapati tempahan penerbangan itu dibuat seorang warga Filipina yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan, kira-kira seminggu sebelum kejadian 23 September lalu.
Menurutnya, individu terbabit membayar AS$49,500 (RM210,000) untuk perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan manifes penerbangan, tempahan pada awalnya bertujuan membawa barangan berupa vape dari Laos ke Manila.
“Bagaimanapun, kami percaya perkhidmatan itu digunakan sindiket berkenaan untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
“Siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada kegiatan itu hanya melibatkan laluan Laos-Filipina atau terdapat juga cubaan membawa masuk dadah ke Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Hussein berkata, pihak polis turut menyalurkan maklumat berhubung individu membuat tempahan itu kepada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu mengesan suspek yang dipercayai berada di negara berkenaan.
Katanya, siasatan juga tertumpu kepada kemungkinan pemilik syarikat penerbangan mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit atau perkhidmatannya disalahguna pihak lain.
“Kami mempunyai maklumat mengenai individu yang membuat tempahan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur antarabangsa memandangkan kes ini membabitkan beberapa negara.
“Setakat ini, saya boleh mengesahkan dadah berkenaan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dibawa dari Laos menuju ke Filipina. Kami percaya laluan itu bermula dari kawasan Segi Tiga Emas sebelum menuju ke negara berkenaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan empat individu, termasuk seorang juruterbang warga Malaysia yang juga pemilik pesawat, ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan sebuah pesawat persendirian dari Malaysia, berkaitan cubaan penyeludupan dadah.
Pesawat itu dipercayai terbabit dalam cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.
Mereka yang ditahan ialah juruterbang berusia 49 tahun, pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun serta dua wanita warga Malaysia, masing-masing seorang doktor berusia 37 tahun dan jururawat berusia 33 tahun. - Getaran, 9 Oktober 2026






