
Kota Kinabalu: Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu diperkukuhkan demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat di negeri ini, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.
Beliau berkata hubungan erat, harmoni dan positif antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri perlu sentiasa dikekalkan untuk memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Mohd Razali berkata tiada ruang untuk bekerja secara berasingan atau dalam mentaliti silo, sebaliknya semangat Sabah Maju Jaya harus disokong padu melalui integrasi gerak kerja yang lebih bersepadu, sinergistik dan saling melengkapi.
“Hubungan baik ini bukan sekadar protokol rasmi, malah ia merupakan jambatan utama yang memudahkan segala urusan pembangunan serta penyelesaian isu-isu setempat,” katanya semasa menyampaikan amanat pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah 2026 di Intan Kampus Sabah, di sini pada Rabu.
Mohd Razali turut menekankan penjawat awam Persekutuan di Sabah agar meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui budaya kerja berprestasi tinggi.
“Saya meletakkan aspirasi yang tinggi agar seluruh warga penjawat awam Persekutuan di negeri Sabah mampu menerajui transformasi budaya kerja yang berorientasikan keberhasilan.
“Fokus utama kita adalah untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam melalui pemanfaatan inovasi digital serta kepantasan dalam tindakan “Setiap penjawat awam dituntut untuk memiliki ‘sense of urgency’ dalam menangani permasalahan rakyat bagi memastikan setiap dasar Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan impak maksimum,” katanya.
Seramai 161 Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan isu pentadbiran, pembangunan dan keselamatan di Sabah.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Sabah Development and Investment Authority (Sedia) Datuk Seri Hashim Paijan dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. William Gotulis.





