
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) terus membidas hasrat parti Kancil yang dipimpin oleh Datuk Seri Rafizi Ramli untuk turut serta dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.
EXCO AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, demi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, parti Kancil ini sanggup untuk ‘membantu’ UMNO memecahkan undi PH walaupun beliau sendiri mengutuk UMNO sebelum ini.
“Apa yang jelas, keputusan Parti Kancil untuk menyatakan hasrat bertanding dalam PRN Melaka hanya akan memberi kelebihan kepada lawan utama PH, khususnya UMNO dan sekutunya, melalui perpecahan undi.
“Ironinya, individu yang sebelum ini begitu lantang mengkritik UMNO dan Pas kini sanggup mengambil langkah yang secara langsung menguntungkan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, selepas kalah di kesemua 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor yang ditandinginya dengan hilang deposit, parti Bersama dijangka terus menerima nasib sama dengan ‘dimalukan’ buat kali kedua dalam PRN Melaka tidak lama lagi.
Kata Mohamad Faisol Keling, ini kerana tahap penolakan yang tinggi oleh orang Melayu terhadap prestasi Rafizi sebagai menteri sebelum ini serta peningkatan semula oleh pengundi Cina terhadap PH selepas Pas menjalinkan kerjasama dengan BN.
Dzul Hilmi berkata, rakyat berhak menilai sendiri sama ada perjuangan ini benar-benar untuk membawa perubahan atau sekadar didorong oleh dendam politik terhadap Anwar.
AMK berpandangan bahawa dalam sistem pilihan raya negara ini, setiap undi mempunyai kesan yang besar.
Katanya, jika matlamatnya benar-benar mahu melihat agenda reformasi diteruskan, maka tindakan memecahkan undi hanya akan membuka ruang kepada musuh politik PH untuk kembali berkuasa.
“Sebab itu kami menyeru rakyat, khususnya pengundi yang mungkin mempunyai rasa tidak puas hati terhadap PH, supaya membuat pertimbangan dengan bijak.
“Mengundi Parti Kancil bukan sahaja tidak membawa kepada pembentukan kerajaan, malah berpotensi menjadi faktor yang memenangkan pihak yang selama ini mereka sendiri dakwa sebagai musuh perjuangan,” katanya. – UTUSAN
The post Rafizi hipokrit, masuk PRN Melaka bantu UMNO pecah undi PH – AMK appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Aminuddin rehat seketika sebelum bantu gerak kerja PRN Melaka](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/PRN-PH-1024x768.jpg)


