
TAMPIN – Penyelesaian kemelut yang melanda Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan positif apabila rundingan di peringkat UMNO disifatkan sudah selesai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan perkembangan itu selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang yakin kemelut berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, perbincangan di peringkat UMNO sudah menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi harapan kepada penyelesaian isu negeri ini.
“Saya rasa di peringkat UMNO dah selesailah seperti kata Presiden tu. Perbincangan dan kita ke arah yang positif tentang semua perkara (adat dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Arena, Dataran Tampin di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan rundingan berkenaan dan menegaskan tumpuan ketika ini adalah kepada usaha menyelesaikan kemelut demi kepentingan rakyat.
Mengulas mengenai persidangan DUN, beliau berkata, kerajaan negeri masih menunggu perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya rasa di peringkat UMNO sudah selesai’ appeared first on Kosmo Online.






