YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan AI Malaysia Berhad, sebuah entiti kecerdasan buatan kebangsaan di bawah Kementerian Digital. Langkah ini merupakan penambahbaikan dan penginstitusian rasmi daripada Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang mula ditubuhkan pada 12 Disember 2024, demi memacu agenda transformasi teknologi masa hadapan negara.

Peluncuran AI Malaysia menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Negara AI 2030. Agenda ini dirangka selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan kerangka Malaysia MADANI, yang meletakkan AI sebagai nadi pertumbuhan ekonomi, transformasi sektor awam, serta peningkatan kesejahteraan masyarakat secara inklusif.
Penginstitusian AI Malaysia: Penyelarasan Strategik Seluruh Kerajaan
Sebagai sebuah entiti AI kebangsaan di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia berfungsi sebagai badan induk yang menyatukan penyelarasan dasar dengan pelaksanaan di peringkat nasional. Melalui pendekatan ekosistem keseluruhan kerajaan (whole-of-government), AI Malaysia akan menggalas tanggungjawab utama berikut:
- Penyelarasan dasar dan pelaksanaan: Menghubungkan strategi dasar negara dengan gerak kerja pelaksanaan yang holistik;
- Pemantauan impak tinggi: Memastikan keberhasilan dan pencapaian inisiatif di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 dipantau secara rapi;
- Tadbir Urus AI yang Dipercayai: Membangunkan kerangka tadbir urus, kod etika, piawaian dan mekanisme kepercayaan dan penyelarasan dasar berkaitan AI;
- Kerjasama Strategik: Menyelaras hubungan strategik dan kolaborasi AI di peringkat global; dan
- Institut Keselamatan AI Malaysia: Melaksanakan peranan sebagai Institut Keselamatan AI negara bagi memperkukuh aspek Kepercayaan Digital (Digital Trust).
Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030: Agenda Pembinaan Negara
Bersempena dengan pelancaran ini, Kerajaan turut memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai agenda pembinaan negara (nation building) yang kritikal. Pelan ini digerakkan melalui mekanisme pelaksanaan berstruktur tinggi yang memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan ekosistem menerusi dua komponen utama:
- 14 inisiatif sektoral yang memberi impak langsung kepada pertumbuhan sosioekonomi negara; dan
- 14 inisiatif yang menyokong sektor-sektor impak, merangkumi lima (5) pemangkin asas, iaitu:
- Modal Insan Berdaya Saing Global;
- Inovasi Dipacu Pasaran;
- Infrastruktur Data dan Pengkomputeran;
- Tadbir Urus Bertanggungjawab; dan
- Pembiayaan dan Pelaburan Mampan.

Penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia
Selaras dengan aspirasi Negara AI 2030, Malaysia menubuhkan Institut Keselamatan AI Malaysia sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keupayaan teknikal dengan memanfaatkan kepakaran daripada kerajaan, industri, akademia dan institusi penyelidikan bagi memastikan penggunaan AI yang selamat (AI Safety) di Malaysia.
Institut Keselamatan AI Malaysia akan memperkukuh ekosistem AI yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab melalui tiga teras utama: RDCI AI merangkumi penilaian keselamatan, pengujian dan AI Red Teaming; kerjasama strategik bagi pembangunan bakat, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi di peringkat nasional dan antarabangsa; serta tadbir urus, keselamatan dan sokongan regulatori melalui pembangunan piawaian, pengurusan risiko dan jaminan pematuhan. Penubuhannya akan meningkatkan keyakinan rakyat, memperkukuh daya tahan negara terhadap risiko AI, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi keselamatan (safety) dan tadbir urus AI.
Komitmen Terhadap Ekosistem Tadbir Urus AI yang Dipercayai
Dalam memacu kepesatan teknologi AI, Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem tadbir urus AI yang selamat dan beretika. Melalui AI Malaysia, tumpuan sepenuhnya akan diberikan bagi memastikan sebarang sistem AI yang dibangunkan, diguna pakai, dan ditadbir di dalam negara sentiasa berpaksikan manusia (human-centric), selamat, serta boleh dipercayai. Bagi mengukuhkan asas ini, Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI kini sedang dirangka sebagai instrumen perundangan utama yang menggunakan pendekatan berasaskan risiko (risk-based). Pembangunan RUU, yang kini dibuka untuk konsultansi awam, disasarkan siap menjelang hujung tahun ini bagi menyediakan perlindungan dan kepastian undang-undang yang jelas tanpa mengekang inovasi, sekali gus melonjakkan keyakinan awam dan pelabur terhadap ekosistem digital negara.
Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo menyatakan penubuhan AI Malaysia Berhad di bawah Kementerian Digital merupakan langkah strategik untuk menyatukan penyelarasan dasar dan pelaksanaan di peringkat nasional secara menyeluruh. Berpandukan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, kementerian komited untuk memastikan pembangunan kecerdasan buatan dibina di atas dasar kepercayaan, keselamatan, dan tadbir urus yang kukuh, termasuk melalui penggubalan RUU Tadbir Urus AI serta penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia.
Peluncuran AI Malaysia beserta pengumuman Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dan penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia ini mencerminkan kesediaan negara untuk bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah sebagai peneraju inovasi AI yang selamat dan bertanggungjawab di rantau ini demi kemakmuran bersama rakyat Malaysia dan seterusnya mencapai aspirasi menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang tahun 2030.




