liza05/11/2026 - 17:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Pentamaster Corporation Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 37.9% kepada RM585.27 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding RM424.56 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh pertumbuhan perniagaan automasi kilang dan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata keuntungan sebelum cukai ialah sebanyak RM106.35 juta, meningkat 76% daripada RM60.42 juta pada 9MFY2025, manakala keuntungan bagi tempoh kewangan berkenaan naik 39.1% kepada RM85.57 juta berbanding RM61.53 juta sebelumnya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), hasil meningkat 51.3% kepada RM224.05 juta berbanding RM148.08 juta pada suku sama tahun lalu.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat lebih dua kali ganda kepada RM44.55 juta daripada RM22.22 juta, manakala keuntungan bagi suku berkenaan naik 32.3% kepada RM31.74 juta.
AI Compute menjadi penyumbang utama hasil
Pentamaster berkata prestasi itu didorong antaranya oleh peningkatan sumbangan segmen AI Compute yang merangkumi aktiviti berkaitan pembungkusan termaju, pelayan AI, pemecut AI dan memori lebar jalur tinggi.
Dalam 3QFY2026, segmen AI Compute menyumbang RM108.12 juta atau 48.3% daripada keseluruhan hasil kumpulan, berbanding RM32.96 juta atau 18.2% pada suku kedua 2026.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, hasil daripada segmen berkenaan mencapai RM141.08 juta, bersamaan 24.1% daripada jumlah hasil kumpulan.
Pertumbuhan itu turut disokong permintaan terhadap penyelesaian automasi bagi barisan pemasangan pelayan AI untuk ekosistem infrastruktur pusat data, yang menjadi penyumbang utama kepada segmen penyelesaian automasi kilang (FAS).
Segmen automasi kilang catat pertumbuhan tertinggi
Mengikut segmen perniagaan, FAS mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 60.7% kepada RM320.30 juta bagi 9MFY2026 berbanding RM199.31 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku ketiga sahaja, hasil segmen itu meningkat 68.9% kepada RM171.63 juta daripada RM101.64 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 83% kepada RM50.7 juta berbanding RM27.7 juta.
Segmen peralatan ujian automatik (ATE) pula merekodkan hasil RM252.89 juta bagi sembilan bulan pertama 2026, meningkat 15.8% daripada RM218.31 juta sebelumnya, disokong sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti automotif, elektro-optik dan AI Compute.
Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan mencatatkan hasil RM27.33 juta, meningkat 154.1% daripada RM10.76 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Kumpulan turut memulakan jualan jarum pen insulin (pen needles) pada suku ketiga sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penawaran produk peranti perubatannya.
Perluas kapasiti pengeluaran di Batu Kawan
Mengulas prospek, Pentamaster berkata kumpulan kekal positif terhadap prestasi bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, disokong permintaan berterusan daripada segmen AI Compute dan perubatan, khususnya dalam perniagaan FAS.
Bagi memenuhi keperluan pengeluaran yang semakin meningkat, kumpulan sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian dan penyediaan infrastruktur melibatkan kira-kira 120,000 kaki persegi ruang pengeluaran yang sebelum ini belum digunakan di kemudahan di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kemudahan yang mempunyai keluasan binaan kira-kira 720,000 kaki persegi itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pembuatan jangka panjang kumpulan, termasuk menyediakan ruang untuk peluasan operasi pada masa hadapan. - DagangNews.com



