Hasil Elridge Energy dijangka cecah RM854 juta dipacu permintaan biojisim Jepun - Mercury Securities

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Elridge Energy dijangka cecah RM854 juta dipacu permintaan biojisim Jepun - Mercury Securities Image from: Hasil Elridge Energy dijangka cecah RM854 juta dipacu permintaan biojisim Jepun - Mercury Securities sarah04/11/2026 - 10:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Elridge Energy Holdings Bhd menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran bahan api biojisim kepada 2.16 juta tan setahun menjelang 2027 bagi memenuhi permintaan kukuh dari Jepun, sekali gus berpotensi memacu hasil kumpulan kepada hampir RM854 juta.

 

Mercury Securities berkata, pengembangan kapasiti itu dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan Elridge, dengan hasil kumpulan diunjurkan hampir berganda kepada RM853.6 juta pada tahun kewangan 2027 berbanding RM432 juta pada 2025.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Elridge kini mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.44 juta tan menerusi kemudahan di Selangor, Kuantan dan Pasir Gudang, sebelum meningkat kepada kira-kira 1.9 juta tan menjelang akhir 2026.

 

"Peningkatan kapasiti itu akan disokong empat barisan pengeluaran tambahan di Kuantan dengan kapasiti kira-kira 480,000 tan setahun, diikuti pembinaan kilang baharu di Lahad Datu, Sabah yang bakal menambah 240,000 tan lagi pada 2027," menurut Mercury Securities dalam nota penyelidikan.

 

Firma itu berkata, Jepun kekal sebagai pasaran eksport utama PKS Malaysia, dengan import negara berkenaan meningkat 18% kepada rekod 7.2 juta tan pada 2025 berbanding 5.9 juta tan pada 2023, sekali gus menyediakan peluang pertumbuhan kepada pengeluar tempatan seperti Elridge.

 

Malaysia membekalkan kira-kira 21% daripada keseluruhan import PKS Jepun pada 2025, manakala lebih 90% eksport PKS negara diserap pasaran Jepun, yang menggunakan bahan api tersebut untuk menjana elektrik menerusi loji biojisim.

 

Menurut Mercury Securities, peraturan kelestarian Jepun yang mewajibkan PKS diperoleh daripada sumber boleh dijejaki serta memiliki pensijilan diiktiraf bagi loji di bawah skim tarif galakan (FiT) dijangka memberikan kelebihan kepada Elridge yang mempunyai pensijilan Green Gold Label (GGL).

 

Selain permintaan Jepun, pertumbuhan Elridge turut disokong perjanjian pembelian jangka panjang dengan JFE Shoji Corporation dan PT Orion APAC, yang memberikan keterlihatan pendapatan lebih baik ketika kumpulan memperluas kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran serantau.

 

Dari segi prestasi kewangan, Mercury Securities mengunjurkan keuntungan bersih teras Elridge meningkat daripada RM57.3 juta pada 2025 kepada RM86 juta pada 2026 dan RM129.1 juta pada 2027, disokong peningkatan jumlah pengeluaran serta margin keuntungan yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan nilai wajar saham Elridge pada RM1.29 berbanding harga rujukan RM0.93 pada 3 November 2026, mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 38.7%, namun tidak memberikan penarafan khusus terhadap saham berkenaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved