Segmen pembuatan semikonduktor tingkatkan hasil Kobay kepada RM130 juta

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 6:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen pembuatan semikonduktor tingkatkan hasil Kobay kepada RM130 juta Image from: Segmen pembuatan semikonduktor tingkatkan hasil Kobay kepada RM130 juta liza05/11/2026 - 18:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kobay Technology Berhad menjangkakan perniagaan pembuatan semikonduktornya terus berkembang pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY2027), disokong tempahan yang telah diperoleh serta permintaan pelanggan yang memberangsangkan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, tempahan yang diperoleh bahagian semikonduktor memberikan keterlihatan hasil yang lebih baik dan dijangka menyokong prestasi bahagian berkenaan dalam beberapa bulan akan datang.

 

Bagi memenuhi keperluan pengeluaran yang lebih tinggi, Kobay akan terus memanfaatkan keupayaan pembuatan dan kepakaran teknikalnya, selain memberi tumpuan kepada penggunaan kapasiti, kecekapan operasi serta pengoptimuman kos.

 

“Pengurusan turut merancang mendapatkan pelanggan baharu dan memperluaskan penawaran produk serta perkhidmatan bagi meningkatkan kedudukan kumpulan dalam pasaran. Bagaimanapun, jangkaan pertumbuhan itu bergantung kepada keadaan pasaran yang tidak mengalami kemerosotan ketara,” katanya.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY2027), Kobay mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 66% kepada RM18.17 juta berbanding RM10.93 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 17% kepada RM130.24 juta daripada RM110.88 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 65% kepada RM23.47 juta berbanding RM14.21 juta sebelumnya.

 

Segmen pembuatan sumbang hasil terbesar

Segmen pembuatan menjadi penyumbang utama prestasi kumpulan apabila mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 34% kepada RM96.25 juta berbanding RM71.97 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen itu turut meningkat 71% kepada RM21.04 juta daripada RM12.34 juta, disokong perkembangan berterusan industri semikonduktor.

 

Kobay berkata, prospek industri yang positif serta tempahan pelanggan yang memberangsangkan dijangka terus menyokong prestasi bahagian pembuatan pada tahun kewangan semasa.

 

Prestasi segmen lain bercampur

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah mencatatkan penurunan hasil sebanyak 29% kepada RM7.21 juta berbanding RM10.09 juta sebelumnya.

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai segmen itu meningkat 95% kepada RM1.43 juta daripada RM730,000 terutamanya disumbangkan pendapatan sewaan jangka pendek.

 

Segmen farmaseutikal dan penjagaan kesihatan pula merekodkan penurunan hasil sebanyak 5% kepada RM18.92 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat sedikit sebanyak 2% kepada RM1.27 juta berikutan langkah kawalan kos yang lebih berkesan.

 

Bagi segmen pengurusan aset dan pegangan pelaburan, hasil merosot 12% kepada RM7.77 juta, manakala segmen itu mencatatkan kerugian sebelum cukai RM18,000 berbanding keuntungan RM2.47 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut kumpulan, prestasi segmen berkenaan terjejas terutamanya akibat pengurangan penerbangan antarabangsa secara langsung dan ketegangan geopolitik.

 

Dalam perkembangan berasingan, Kobay berkata perniagaan farmaseutikal dan penjagaan kesihatannya dijangka terus menerima permintaan stabil, disokong peningkatan kesedaran kesihatan serta tumpuan lebih besar terhadap penjagaan pencegahan.

 

Bagaimanapun, peningkatan kos sara hidup boleh menjadi cabaran kepada pertumbuhan segmen itu. Sehubungan itu, kumpulan merancang memperluaskan rangkaian produk, meneroka pasaran luar negara dan meneruskan kawalan kos.

 

Bagi pembangunan hartanah, pengurusan akan memantau peningkatan kos bahan binaan dan perbelanjaan pinjaman, selain menyelaraskan masa pelancaran produk baharu berdasarkan keadaan pasaran serta sentimen pembeli rumah.

 

Kumpulan turut merekodkan tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM60.72 juta setakat 30 September 2026 berbanding RM56.34 juta pada 30 Jun 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved