AIA Public Takaful lantik Mohd Asri Omar sebagai CEO baharu

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 11:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AIA Public Takaful lantik Mohd Asri Omar sebagai CEO baharu

image is not available

14/08/2025 - 11:54

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – AIA Public Takaful Bhd melantik Mohd Asri bin Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 11 Ogos 2025 bagi menerajui fasa pertumbuhan seterusnya dan memperkukuh komitmen syarikat dalam penyampaian penyelesaian syariah menyeluruh.

Dengan pengalaman lebih 27 tahun dalam industri insurans dan takaful, Mohd Asri memiliki kepakaran luas dalam pengedaran agensi, strategi perniagaan, tadbir urus syariah serta hal ehwal undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng berkata, pelantikan Mohd Asri adalah permulaan kepada era kepimpinan baharu yang menekankan pendekatan holistik, termasuk perlindungan kewangan berasaskan tujuan, mampan dan professional.

“Pelantikan ini dilakukan ketika momentum AIA Public Takaful berada pada tahap kukuh, susulan pengisytiharan agihan lebihan tertinggi sejak penubuhan syarikat yang berjumlah RM84 juta. “Pencapaian ini mencerminkan kekuatan kewangan syarikat, kecemerlangan tenaga agensi serta komitmen berterusan menyampaikan nilai terbaik kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dengan pengalaman luas dalam industri dan kelayakan tinggi dalam bidang syariah, Mohd Asri adalah individu tepat untuk memacu pertumbuhan AIA Public Takaful, memperluas tenaga agensi profesional serta melindungi lebih ramai rakyat Malaysia.

Sebelum pelantikan ini, Mohd Asri berkhidmat sebagai CEO Hong Leong MSIG Takaful Bhd sejak 2018 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan di AIA Public Takaful termasuk Ketua Tadbir Urus dan Strategi.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia dan memiliki dwi ijazah dalam bidang Syariah (LLBS) dan Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com

standard