Aichi-Nagoya 2026: Tanpa Muhammad Azeem, kuartet 4x100m ada pelan sandaran 

26 Sep 2026 • 9:29 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Aichi-Nagoya 2026: Tanpa Muhammad Azeem, kuartet 4x100m ada pelan sandaran 

NAGOYA: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara mempunyai pelan sandaran sekiranya jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak dapat meneruskan aksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, susulan kecederaan yang dialaminya semalam.

Pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee berkata mereka tetap akan meneruskan perjuangan sekiranya Muhammad Azeem terpaksa diketepikan, dengan beberapa pelari lain sedia mengisi kekosongan berkenaan.

Beliau berkata Pengiran Aidil Auf Hajam, Muhammad Haziq Mohamad Akhir, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Muhammad Umaira Subri adalah antara pilihan yang boleh membentuk kuartet negara sekiranya Muhammad Azeem tidak dapat bertanding.

“Bagi kami, kami akan terus berjuang walau apa pun yang terjadi. Tiada Muhammad Azeem memang satu kekurangan untuk pasukan Malaysia tetapi sekiranya beliau tidak dapat bertanding bersama kami, kami ada pelan sandaran.

“Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik untuk Malaysia dan diri kami sendiri,” katanya ketika ditemui.

Danish Iftikhar berkata status Muhammad Azeem masih belum dapat dipastikan kerana doktor sedang menjalankan rawatan, dengan keputusan mengenai tahap kecederaan itu dijangka diketahui seawal esok.

“Untuk 4x100m, kami belum ada sebarang perbincangan lanjut. Status Muhammad Azeem pun kami belum dapat pastikan kerana doktor sedang merawatnya.

“Kami akan dapat tahu keputusan, insya-Allah, mungkin esok paling cepat. Kita ramai-ramai mendoakan supaya keadaan Muhammad Azeem tidak serius,” katanya.

Bagi acara 4x100m campuran pula, Danish Iftikhar berkata Pengiran akan mengambil alih tempat Muhammad Azeem sekiranya pelari itu tidak dapat beraksi.

Dalam pada itu, Danish Iftikhar menganggap penampilan sulungnya pada Sukan Asia sebagai pengalaman berharga selepas berdepan pelari terbaik Asia pada saingan 200m lelaki.

Beliau mengakui terdapat jurang dengan pelari yang memiliki catatan lebih baik, namun menjadikannya sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi dan catatan peribadi.

“Bagi saya, jurang itu memang jauh tetapi ini adalah saya melawan diri sendiri. Saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.

“Pelari yang sudah mempunyai prestasi dan catatan terbaik itu menjadi batu loncatan untuk saya memperbaharui keupayaan serta catatan peribadi,” katanya.

Terdahulu, Danish Iftikhar mengakhiri saingan separuh akhir saringan satu di kedudukan keempat dengan catatan masa 20.76 saat dan layak ke pentas akhir yang akan berlangsung esok berdasarkan catatan dua pelumba terpantas seterusnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved