
KUALA LUMPUR: Pemilihan penyanyi dari Indonesia, Fajar Noor untuk membuat persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) tidak seharusnya dilihat sebagai menutup ruang kepada artis tempatan, sebaliknya mencerminkan keterbukaan industri muzik Malaysia.
Pengerusi jawatabkuasa AIM25, Rosmin Hashim berkata, kehadiran artis antarabangsa dalam acara berprestij berkenaan bukan perkara baharu kerana penyanyi luar negara sebelum ini juga pernah diberi peluang membuat persembahan.
Menurutnya, pemilihan Fajar Noor dibuat bergantung kepada kesediaan dan kelapangan jadual artis terbabit, selain mengambil kira konsep serta keperluan penganjuran.
“Artis luar negara memang sebelum ini pun pernah dipersembahkan. Tahun lepas pun kita ada persembahan pembukaan oleh Dolla bersama bintang rap dari Thailand.
“Sebelum ini pun artis antarabangsa pernah membuat persembahan. Jadi ia bergantung kepada ‘availability’ artis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosmin berkata, pihak penganjur juga melihat perkembangan kolaborasi antara penggiat muzik tempatan dengan artis serta penulis lagu dari negara luar sebagai sesuatu yang positif dan wajar digalakkan.
Katanya, perkembangan tersebut bukan sahaja membuka ruang kreativiti kepada artis Malaysia, malah membolehkan karya mereka menembusi pasaran yang lebih besar, khususnya di rantau Asia.
“Kita lebih terbuka. Sekarang ini banyak kolaborasi yang dibuat antara artis Malaysia dengan artis ataupun penulis lagu di Indonesia.
“Kita nak menggalakkan kolaborasi ini kerana ia membolehkan artis-artis kita mendapat pendedahan kepada pasaran yang lebih besar.
“Sekarang ini industri muzik bukan hanya di Malaysia, tetapi sudah menjadi industri global,” katanya.
Dalam pada itu, Rosmin turut mendedahkan bahawa karya muzik Malaysia sebenarnya mempunyai capaian pendengar yang luas di luar negara menerusi platform penstriman digital seperti Spotify.
Katanya, berdasarkan data yang dikongsikan pihak Content Editor One Stop Music, majoriti pendengar bagi karya yang diterbitkan syarikat rakaman tempatan datang dari luar Malaysia.
“Lebih kurang 45 peratus sahaja yang distrim oleh pendengar di Malaysia. Ini menunjukkan lagu-lagu Malaysia banyak didengar di luar negara.
“Ini sebenarnya kekuatan industri muzik Malaysia kerana kita menghasilkan lagu dalam tiga bahasa, iaitu Melayu, India dan Cina yang mampu menembusi pasaran besar.
“Jadi kita mempunyai pasaran yang luas untuk lagu-lagu yang dihasilkan dari Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Rosmin menegaskan, industri muzik tempatan perlu memanfaatkan kelebihan berkenaan dan tidak bersikap terlalu tertutup terhadap kehadiran artis antarabangsa.
“Kita kena manfaatkan kelebihan kita. Itu kelebihan kita. Jadi jangan tertutup dan tidak membenarkan artis luar negara membuat persembahan.
“Inilah industri muzik Malaysia dan kita sentiasa ada kolaborasi dengan artis-artis luar negara juga,” katanya.
Terdahulu, ramai mempertikaikan artis seberang, Fajar Noor membuat persembahan di AIM25 yang sepatutnya menjadi anugerah berprestij meraikan bakat tempatan. -UTUSAN
The post AIM25: Undang artis luar buat persembahan bukan perkara baharu- Penganjur appeared first on Utusan Malaysia.






