
BUKIT JALIL – Definisi penghibur sebenar terus diterjemahkan penyanyi Aina Abdul menerusi persembahan penuh dramatik lagu Kamu pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) di Unifi Arena, malam tadi.
Bukan sekadar vokal bertenaga, Aina tampil dengan prop gunung berapi berskala besar selain busana avant-garde menyerupai meteor, sekali gus menghidupkan pentas dengan imaginasi luar biasa.
Persembahan tersebut pantas mencuri perhatian penonton apabila vokal Aina bergema memenuhi ruang arena, disusuli sorakan serta tepukan gemuruh.
Lagu Kamu merupakan karya ciptaan sepenuhnya Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, sekali gus memperlihatkan kekuatan penyanyi itu bukan hanya sebagai vokalis, malah komposer.
Lebih menarik, persembahan tersebut turut mencetuskan perbualan hangat dalam media sosial apabila rata-rata netizen mula membuat ramalan Aina bakal mengulangi kejayaan meraih trofi Juara Lagu seperti pernah dilakukannya menerusi Terus Hidup pada AJL37.
“Ini barulah definisi anak seni sebenar. Aina benar-benar seorang trendsetter! Pakejnya lengkap, daripada vokal, persembahan hingga pemilihan busana. Semuanya luar biasa,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Aina sudah meletakkan penanda aras sangat tinggi di pentas AJL. Dia membuktikan dirinya benar-benar layak berada di pentas sebesar ini,” tulis seorang lagi peminat.
Kehebatan Aina di pentas AJL bukan perkara baharu apabila penyanyi itu sebelum ini mencipta rekod tersendiri menerusi kemenangan trofi Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut pada AJL36, AJL37 dan AJL38.
Malah, Aina melengkapkan koleksi trofi AJL selepas dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi Puas Sudah pada AJL39, Februari tahun lalu.
Rekod cemerlang itu turut merangkumi gelaran Juara Lagu menerusi Terus Hidup pada AJL37, Naib Juara menerusi Semalam pada AJL35 serta tempat ketiga menerusi Jangan Mati Rasa Itu pada AJL38.
Bagi trofi Vokal Terbaik pula, Aina pernah meraihnya menerusi Semalam (AJL35), Sepi (AJL36), Terus Hidup (AJL37) dan Jangan Mati Rasa Itu (AJL38).
Dengan pencapaian tersebut, Aina terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi serta komposer paling dominan dalam sejarah penganjuran AJL, sekali gus menjadikan setiap kemunculannya di pentas berprestij itu sentiasa dinanti-nantikan. – KOSMO! ONLINE.
The post Aina Abdul definisi penghibur sebenar AJL40 appeared first on Kosmo Digital.






