Marsha Milan pernah terfikir mahu tarik diri dari AJL40

LocalEntertainment
16 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Marsha Milan pernah terfikir mahu tarik diri dari AJL40

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Marsha Milan tidak menyangka mampu membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), lebih-lebih lagi ketika keadaan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Marsha, yang berdepan masalah refluks asid dan sinus sehingga menjejaskan keupayaannya untuk menyanyi, menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna kerana ia merupakan anugerah pertama Vokal Terbaik yang diraihnya sepanjang penglibatannya dalam AJL.

Menurut Marsha, keadaan kesihatan yang dialaminya membuatkan dia langsung tidak meletakkan harapan untuk memenangi anugerah berkenaan, sebaliknya hanya mahu memberikan persembahan sebaik mungkin di pentas AJL40.

“Sangat bersyukur dengan situasi saya. Seperti mana yang saya pernah cakap kepada media sebelum ini, saya betul-betul tidak menjangkakan anugerah ini, tetapi sangat bersyukur dan berbesar hati untuk menerimanya.

“Ini adalah anugerah pertama saya untuk Vokal Terbaik. Saya tidak pernah menang Vokal Terbaik. Alhamdulillah,” katanya.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Marsha berkata, dia masih dalam fasa penyembuhan dan masalah refluks asid yang dialaminya menjadi lebih sukar apabila bergabung dengan masalah sinus.

“Perjuangan yang saya rasa saya kena lalui hari ini adalah sebab saya masih lagi dalam fasa penyembuhan. Bila refluks asid dan sinus bergabung, memang agak payahlah. Dan semestinya bila dalam keadaan macam itu, menyebabkan saya sukar kawal suara.

“Tetapi Alhamdulillah, Allah izinkan saya berada di atas pentas dan meraih pula Anugerah Vokal Terbaik. Saya sangat-sangat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun, dari segi aktiviti harian, penyanyi itu berkata, keadaan kesihatannya semakin baik, cuma nyanyian masih menjadi cabaran kerana batuk yang datang sekali-sekala sukar dikawal.

Dalam pada itu, Marsha tidak menafikan dia pernah terfikir untuk mengalah dan menarik diri daripada AJL40 berikutan keadaan kesihatan yang dialaminya.

Bagaimanapun, sokongan kuat daripada pasukannya menjadi antara faktor utama yang membuatkan dia terus bertahan dan memberikan persembahan di pentas berprestij berkenaan.

“Sebenarnya setiap hari saya rasa begitu. Tetapi Alhamdulillah, saya mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat. Mereka selalu memberi motivasi, memberi saya sokongan, selalu memberikan nasihat untuk saya berfikir positif.

“Sebab saya rasa kadang-kadang dalam keadaan macam ini, kalau kita dalam keadaan yang sangat kecewa, sangat tertekan, dan ditambah pula dengan suasana yang mungkin tidak berapa sihat, mungkin saya tidak dapat memberikan persembahan yang baik.

“Tetapi Alhamdulillah, semua pasukan saya terutamanya sangat menyokong. Saya rasa sebahagian besar sebab saya boleh buat persembahan hari ini adalah kerana mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persaingan, Marsha secara spontan menyebut nama Aina Abdul sebagai antara penyanyi yang dikaguminya, selain memuji semua finalis yang bertanding di AJL40.

“Saya memang kagum dengan bakat Aina dan juga semua yang ada di atas pentas pada hari ini. Saya rasa semua finalis telah bekerja keras untuk berada di atas pentas AJL yang ke-40 ini.

“Dan saya rasa ramai lagi yang membuat persembahan yang bagus, tetapi Alhamdulillah, mungkin Allah izinkan saya memegang anugerah ini,” katanya.

Anugerah Vokal Terbaik menyaksikan Marsha membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 serta trofi.

Terdahulu, lagu Tiwikarma yang mendapat sentuhan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala lirik ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam dinobat sebagai Juara AJL40.

Kemenangan menerusi lagu tersebut membolehkan kumpulan ini membawa pulang trofi AJL serta wang tunai berjumlah RM100,000 selepas menewaskan sembilan lagi finalis dalam saingan kemuncak anugerah muzik berprestij itu.

Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno yang membawakan lagu Tak Adil sambil menyaksikan penyanyi ini membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM50,000.

Manakala tempat ketiga pula disandang Reynauld Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika yang meraih wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi.

The post Marsha Milan pernah terfikir mahu tarik diri dari AJL40 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved