
Penyanyi popular Aina Abdul terpilih mewakili negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global Festival Muzik ABU TV 2023 anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara.
Dalam acara berkenaan, Aina yang beraksi cemerlang menyanyikan lagu Terus Hidup dan berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan.
"Berpeluang mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa adalah satu penghormatan yang cukup istimewa. Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.
"Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia manakala KBS pula adalah antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis ternama K- Pop.
"Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan ini.
"Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia," katanya.



